Ibu Zara diberi cukup masa putuskan bedah siasat: Doktor

LocalFamily & Parenting
18 Sep 2025 • 2:52 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner pada Rabu diberitahu bahawa mayat Zara Qairina Mahathir telah diserahkan kepada ibunya selepas dia (ibu) menolak bedah siasat, walaupun telah dinasihatkan mengenai kepentingan dan implikasinya.

Dr Logaraj Ratha dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) berkata memandangkan tiada isu dibangkitkan, pihak hospital menyerahkan mayat Zara kepada ibunya, Noraidah Lamat, selaras dengan dasar hospital dan jabatan.

Dia berkata dalam kenyataan saksi yang dibacakan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa polis memutuskan untuk tidak memohon bedah siasat mediko-legal, sekali gus membolehkan hospital menyerahkan mayat terus kepada keluarga.

Menurutnya, Pegawai Penyiasat Inspektor Wong Yew Zhung dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar memaklumkan tiada borang Pol.61 (permintaan rasmi polis untuk bedah siasat) akan dikeluarkan, sebaliknya memberi surat pelepasan bagi membolehkan hospital menyerahkan mayat Zara kepada Noraidah.

Dr Logaraj berkata dia kemudian bertemu Noraidah dan iparnya, Nur Shira Abdullah, di Jabatan Forensik. Dia menerangkan bahawa walaupun polis tidak memohon bedah siasat mediko-legal, bedah siasat klinikal masih boleh dijalankan jika keluarga bersetuju.

Katanya, dia menjelaskan secara terperinci tujuan bedah siasat, iaitu menentukan punca sebenar kematian, menyimpan bukti perubatan dan menyediakan laporan rasmi yang boleh membantu keluarga pada masa depan.

Bagaimanapun, Noraidah tetap menolak untuk meneruskan bedah siasat.

Dr Logaraj, saksi ketujuh dalam inkues kematian Zara, berkata dia menerangkan dengan jelas kepadanya bahawa penolakan itu akan menyebabkan keluarga tidak akan dapat memperoleh laporan rasmi bedah siasat atau menggunakannya dalam sebarang tuntutan atau pertikaian pada masa akan datang.

Untuk mengesahkan keputusan itu, Dr Logaraj mengemukakan borang “Penolakan Bedah Siasat Atas Permintaan Sendiri” untuk ditandatangani Noraidah sebagai waris terdekat, manakala Nur Shira menandatangani sebagai saksi dan dia sendiri menandatangani sebagai doktor bertugas.

Katanya, Noraidah mengesahkan dia memahami sepenuhnya penerangan serta akibat keputusannya sebelum menandatangani borang tersebut.

Dengan dokumentasi selesai dan tiada bantahan lanjut, mayat Zara diserahkan kepada keluarganya.

Terdahulu, Dr Logaraj berkata pada jam 5 petang, 17 Julai, dia dimaklumkan mengenai kematian di Wad Neurosurgeri HQE yang tertakluk kepada siasatan polis.

Mayat Zara kemudian dipindahkan dari wad berkenaan ke Jabatan Forensik.

Katanya, antara perkhidmatan jabatan itu ialah bilik mayat yang meliputi pengumpulan, pendaftaran, penyimpanan dan pelepasan mayat dari wad atau Jabatan Kecemasan dan Trauma kepada waris.

“Semua kematian di HQE mesti melalui Jabatan Forensik sebelum dilepaskan kepada keluarga, selaras dengan dasar operasi jabatan dan Prosedur Operasi Standard Perkhidmatan Perubatan Forensik Malaysia,” katanya.

Dia berkata kes Zara melibatkan siasatan polis, justeru dia menghubungi pakar patologi forensik bertugas, Dr Ding Chee Swan, serta Inspektor Wong.

“Inspektor Wong memaklumkan dia telah berjumpa dengan Dr Pavankumar Balachandran, pegawai perubatan bertugas di Jabatan Neurosurgeri.

“Dr Pavankumar mengesahkan punca kematian Zara adalah kecederaan otak trauma yang teruk dengan hipoksia iskemia ensefalopati. Wong kemudian memaklumkan akan merujuk kepada pegawai atasan sebelum memberi maklum balas lanjut,” katanya.

Menurut Dr Logaraj, dia kemudiannya dimaklumkan bahawa polis tidak akan mengeluarkan Borang Pol.61, dan hospital boleh menyerahkan mayat Zara tanpa bedah siasat mediko-legal.

Menjawab soalan peguam Rizwandean M. Borhan, dia berkata ketika menerangkan mengenai bedah siasat, Noraidah kelihatan tenang.

“Dia kelihatan tenang apabila saya menjelaskan kepadanya keperluan bedah siasat. Saya jelaskan dalam bahasa mudah dan senang difahami.

“Saya juga memberinya masa untuk memberi jawapannya. Pada waktu itu, dia dapat menjawab soalan dengan baik, selain sedar tentang masa, tempat dan orang,” katanya.

Dia menolak cadangan peguam bahawa dia tidak bertemu Noraidah pada 17 Julai, sebaliknya menegaskan ada bertemu dengan Noraidah dan Nur Shira di Jabatan Forensik pada petang tersebut.

Dia juga menolak cadangan Rizwandean bahawa dia tidak menjelaskan kepentingan bedah siasat, sebaliknya menegaskan telah menerangkannya sepenuhnya kepada Noraidah dan Nur Shira.

Dr Logaraj juga memberitahu Koroner bahawa dia tahu Noraidah ada membuat laporan polis pada pagi 17 Julai, namun laporan itu tidak diserahkan kepada Jabatan Forensik.

Sementara itu, Dr Logaraj menjelaskan semua mayat ditanda dengan tag warna — putih untuk kes bukan polis dan merah untuk kes polis.

Menjawab soalan peguam Sherzali Asli, Dr Logaraj berkata dia tidak dapat mengingati warna tag pada mayat Zara, tetapi mengakui kes itu adalah kes polis, sambil menambah dia tidak pernah bertemu bapa Zara.

Dalam prosiding sama, Ketua Warden SMKA Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, mendedahkan beberapa diari dan buku latihan ditemui di dalam loker Zara sebelum diserahkan kepada polis.

Katanya, pada 16 Julai kira-kira jam 11.15 pagi, dia dimaklumkan oleh Cikgu Gloria mengenai penemuan dua diari berwarna hijau dan ungu dalam loker Zara.

“Ketika itu saya berada di HQE dan mengarahkan Cikgu Gloria menyerahkan kedua-dua diari itu kepada Cikgu Yuslina,” katanya.

Katanya, pada keesokan harinya, 17 Julai, seorang lagi guru, Cikgu Miswati, menemui sebuah diari berwarna coklat serta sebuah buku latihan ketika membantu mengemas loker Zara di asrama.

Menurutnya, dia meminta Cikgu Miswati menyimpan barangan itu di bilik isolasi asrama kerana ibunya memaklumkan mahu mengambil barangan Zara pada hari berkenaan. Azhari berkata buku-buku itu juga diserahkan kepada Cikgu Yuslina.

“Pada 18 Julai kira-kira jam 8.30 pagi, saya bertemu dengan Cikgu Yuslina yang menyerahkan empat buku milik Zara. Pada hari sama kira-kira jam 5 petang, saya menyerahkan keempat-empat buku itu kepada pegawai penyiasat, Inspektor Wong, dan menandatangani satu borang,” katanya.

Saksi itu berkata, pada 19 Julai kira-kira jam 1 tengah hari, dia menerima 15 helaian kertas daripada diari Zara yang diserahkan oleh Cikgu Yuslina.

“Cikgu Yuslina memaklumkan helaian itu ditemui Cikgu Miswati kira-kira jam 8 pagi ketika memeriksa rak buku kelas Zara.

“Saya menyerahkan helaian itu kepada Inspektor Wong pada hari sama jam 3 petang, bersama dua lagi buku latihan subjek Bahasa Melayu dan Sains atas permintaan polis,” katanya.