
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
iCAUR Malaysia telah mencatat satu pencapaian baharu apabila 1,800 kenderaannya kini secara rasmi berada di jalan raya.
Angka ini mencerminkan permintaan kukuh terhadap iCAUR dan seterusnya mengukuhkan peranannya sebagai pilihan yang boleh dicapai dalam segmen kenderaan tenaga baharu (new energy vehicle atau NEV) off-road di seluruh negara.

iCAUR V23 kenderaan EV k-3 terlaris di Malaysia pada Feb 2026
Pada Februari 2026, iCAUR V23 muncul sebagai jenama kenderaan elektrik (electric vehicle atau EV) ketiga terlaris di Malaysia dengan 179 pendaftaran, manakala iCAUR 03 berada di kedudukan ketujuh dalam kalangan semua model EV di seluruh negara.
Pencapaian ini menyusuli prestasi memberangsangkan pada 2025, apabila iCAUR 03 tersenarai sebagai model EV ke-14 paling laris di Malaysia dengan 836 unit didaftarkan dalam tempoh empat bulan pertama jualannya.
Ini turut mencerminkan permintaan terhadap iCAUR di kalangan pemandu yang menghargai penerokaan, kreativiti, dan keunikan diri — nilai-nilai yang menjadi teras falsafah Born to Play iCAUR.
“Pencapaian 1,800 kenderaan di jalan raya menandai detik yang bermakna bagi iCAUR Malaysia. Ia menggambarkan hubungan yang kami bina dengan para pemandu yang menghargai reka bentuk unik, prestasi dan pengalaman pemilikan yang lebih ekspresif. Seiring dengan perkembangan kami, iCAUR kekal komited untuk menerajui segmen NEV pengembaraan jalan lasak serta menarik minat generasi yang menghargai keunikan diri, ekspresi peribadi serta inovasi melalui ekosistem yang tersendiri.”
Pencapaian ini diraikan menerusi Sesi Penyerahan 1,800 (1,800 Handover Session), yang mempertemukan para pemilik iCAUR untuk meraikan kejayaan tersebut serta menyambut pemilik ke-1,800 ke dalam komuniti mereka yang semakin berkembang. Acara itu turut menyaksikan pelancaran Kelab Pemilik iCAUR Malaysia (iCAUR Malaysia Owners Club) yang merupakan kelab pemilik rasmi pertama jenama ini.
“Pelanggan kami menghayati semangat Born to Play kerana ia selari dengan pilihan cara pemanduan serta gaya hidup mereka. Menerusi Kelab Pemilik iCAUR Malaysia, kami dapat membuka lebih banyak peluang untuk para pemilik berhubung, berkongsi pengalaman dan membentuk perjalanan seterusnya bersama-sama,” tambah Pengarah Pemasaran iCAUR Malaysia, Daniel Lai.
Kelab Pemilik iCAUR Malaysia himpunkan owner

Direka sebagai nadi komuniti iCAUR, Kelab Pemilik iCAUR Malaysia menghimpunkan para pemilik melalui pertemuan, pengalaman bersama dan aktiviti gaya hidup yang menjadikan pemilikan iCAUR lebih bermakna.
Kelab ini berpaksikan dua teras utama: Perjalanan Pengubahsuaian (Customisation Journey), yang memberi peluang kepada pemilik untuk menampilkan kenderaan yang telah diperibadikan, bertukar idea dengan peminat lain dan meraikan kreativiti di sebalik setiap sentuhan peribadi; serta Pembangunan Komuniti (Community Building), yang menumpukan kepada usaha mengeratkan hubungan sesama ahli melalui perjumpaan, peluang rangkaian dan aktiviti bersama yang memupuk rasa kebersamaan.
Perkembangan ini menyusuli beberapa pelancaran model yang telah mengukuhkan kehadiran iCAUR dalam pasaran EV menerusi barisan kenderaan utiliti sukan (sports utility vehicle atau SUV) elektrik berkeupayaan pengembaraan jalan lasak, dengan gabungan reka bentuk tampan, prestasi mantap dan versatiliti untuk pelbagai gaya pemanduan.

Sejak dilancarkan pada September 2025, iCAUR 03 muncul sebagai SUV segmen C di Malaysia yang elektrik sepenuhnya dan berkeupayaan pengembaraan jalan lasak, sekaligus mempelopori kategori kenderaan kembara bateri elektrik (Adventure battery electric vehicle atau BEV) sambil menawarkan gabungan keupayaan, versatiliti dan mobiliti elektrik yang tersendiri.
Barisan model iCAUR terus berkembang pada November 2025 dengan pengenalan iCAUR V23, yang menampilkan gaya rekaan berinspirasi ikon klasik 4×4 serta teknologi yang dibangunkan untuk era mobiliti elektrik. V23 Retro Edition kemudiannya diperkenalkan dengan tagline Classic Never Fades, sekaligus menonjolkan pendekatan jenama yang lebih santai dan kreatif terhadap rekaan berinspirasi retro.

