
iCAUR Malaysia mengumumkan bahawa model SUV elektriknya, iCAUR V23 kini dipasang secara tempatan (CKD) dan dijangka mula tiba di bilik pameran pengedar sah menjelang penghujung Julai. Langkah ini dibuat susulan prestasi memberangsangkan jenama itu yang berjaya muncul sebagai antara tiga jenama BEV teratas di Malaysia bagi separuh pertama 2026.

Pengeluaran iCAUR V23 CKD bermula secara rasmi pada Julai dan menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk mengukuhkan kehadirannya di pasaran tempatan. Pemasangan tempatan juga membolehkan pengurusan bekalan yang lebih cekap sambil memastikan model tersebut terus tersedia kepada pengguna.

Menariknya, versi CKD ini mengekalkan spesifikasi dan tahap kualiti yang sama seperti model import sepenuhnya (CBU). Pada masa sama, harga jualannya turut dikekalkan pada RM132,780, menjadikannya pilihan kompetitif dalam segmen EV tempatan.

Menurut Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin, pemasangan tempatan membolehkan syarikat memenuhi permintaan pasaran dengan lebih baik, menjamin bekalan yang lebih stabil serta mengekalkan harga kompetitif tanpa mengubah identiti asal model tersebut.

iCAUR V23 terus menampilkan rekaan Boxy Retro Classic yang menjadi identitinya, menggabungkan gaya lasak SUV dengan elemen moden sebuah EV. Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi bilik pameran iCAUR menjelang akhir bulan ini untuk melihat model CKD tersebut dengan lebih dekat dan mencuba sesi pandu uji.





