Iconic Worldwide sasar hasil RM150 juta, hampir dua kali ganda pada FY2027

28 Oct 2026 • 2:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Iconic Worldwide sasar hasil RM150 juta, hampir dua kali ganda pada FY2027 Image from: Iconic Worldwide sasar hasil RM150 juta, hampir dua kali ganda pada FY2027 hamden28/10/2026 - 14:22 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt - Iconic Worldwide Bhd menyasarkan hasil hampir dua kali ganda kepada RM150 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 (FY2027), dipacu jualan projek pembangunan hartanah Iconic Harmony di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, perniagaan hartanah dijangka menjadi penyumbang utama dengan hasil sehingga RM120 juta, manakala segmen pembuatan dan hospitaliti turut dijangka menyokong pertumbuhan Kumpulan.

 

Beliau berkata, sasaran itu boleh dicapai susulan permintaan pasaran yang kukuh terhadap Iconic Harmony, projek pembangunan bercampur bertingkat tinggi yang dilancarkan pada April 2024 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM300 juta.

 

“Sehingga FY2026, kira-kira RM80 juta daripada jualan Iconic Harmony telah diiktiraf sebagai hasil, meninggalkan lebih RM200 juta untuk diiktiraf sepanjang dua tahun kewangan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

 

Pembinaan projek berkenaan berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada pertengahan 2027, dengan semua unit yang telah dijual dijangka sedia diserahkan kepada pembeli sebelum penghujung tahun itu.

 

Segmen selain hartanah sumbang sehingga RM40 juta

Sementara itu, Iconic Worldwide menjangkakan perniagaan pembuatan peralatan perlindungan diri (PPE) dan produk penjagaan bayi, serta penyewaan kilang kepada Aperion Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, menyumbang hasil antara RM30 juta hingga RM40 juta bagi FY2027.

 

Segmen hospitaliti pula disasarkan mencatatkan hasil RM10 juta daripada aktiviti pengurusan hotel dan pangsapuri servis.

 

Tan berkata, penyewaan kilang kepada Aperion dijangka menjana pendapatan sewaan tahunan tetap sekurang-kurangnya RM12 juta, sekali gus menyumbang kepada asas pendapatan berulang Kumpulan.

 

Beliau berkata, permintaan terhadap Iconic Regency, kediaman servis yang diuruskan di bawah segmen hospitaliti, kekal kukuh dengan kadar penghunian purata antara 80% hingga 90%.

 

Walaupun pengurusan hartanah belum menjadi penyumbang utama kepada hasil Kumpulan, segmen itu dilihat sebagai sumber pendapatan berulang dengan potensi pertumbuhan yang ketara.

 

Sehubungan itu, Kumpulan akan terus mengembangkan segmen hospitalitinya melalui usaha mendapatkan kontrak pengurusan tambahan.

 

“Fokus kami adalah terhadap penyerahan projek dan pengembangan asas hasil melalui sumber pendapatan berulang yang stabil. Kami juga akan mengurus kos operasi secara berhemat bagi memastikan pertumbuhan Kumpulan yang berterusan,” katanya.

 

Hasil FY26 meningkat 84.8%

Bagi FY2026, Iconic Worldwide mencatatkan hasil RM87.61 juta, meningkat 84.8% berbanding RM47.40 juta pada FY2025.

 

Peningkatan itu didorong terutamanya oleh segmen hartanah yang merekodkan hasil RM58.55 juta, lebih dua kali ganda berbanding RM24.42 juta pada tahun sebelumnya.

 

Segmen pembuatan pula menyumbang hasil RM18.81 juta, termasuk pendapatan daripada penyewaan kilang kepada Aperion Technologies, manakala baki RM10.25 juta sebahagian besarnya diperoleh daripada segmen hospitaliti.

 

Keuntungan bersih Kumpulan meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM9.75 juta pada FY2026 berbanding RM3.15 juta pada FY2025. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved