IEEE (Institute of Electrical and Electronics Engineers) ialah badan kejuruteraan global yang dilihat bertanggungjawab untuk banyak teknologi yang kita gunakan hari ini, dan antara yang paling penting ialah sambungan internet nirwayar WiFi.
Dimana dunia sekarang sedang menggunakan piawaian WiFi 7 untuk sambungan internet ke peranti yang pantas (~46Gb/s), mutu dari segi jarak dan kualiti sambungan masih lagi boleh diperbaiki apabila pengguna berada di penghujung kawasan rangkaian, ataupun berada di lokasi yang mempunyai ramai pengguna pada masa yang sama.

Oleh kerana itu, untuk piawaian WiFi yang akan datang, iaitu IEEE 802.11bn, atau dikenali sebagai WiFi 8, pihak IEEE akan bekerjasama dengan Qualcomm untuk memberi fokus kepada memperbaiki mutu rangkaian dari beberapa aspek selain daripada kelajuan penghantaran data semata-mata.

Menurut Qualcomm, IEEE mahu rangkaian WiFi 8 untuk hadir dengan penambahbaikan sebanyak 25 peratus pada beberapa aspek teknologi tersebut, termasuklah kadar penghantaran data dunia sebenar, khususnya apabila pengguna berada di hujung julat rangkaian ataupun apabila mereka berada didalam kawasan yang mempunyai ramai pengguna yang bersambung pada rangkaian yang sama.

Kedua ialah untuk mengurangkan isu masa pendam sebanyak 25 peratus untuk membolehkan rangkaian WiFi 8 digunakan untuk teknologi seperti realiti imbuhan, automasi, kolaborasi jarak jauh dan lain-lain yang memerlukan rangkaian di rumah dan pejabat untuk mempunyai rangkaian yang bukan sahaja pantas, tetapi stabil dan konsisten.

Ketiga ialah untuk mengurangkan isu packet loss sebanyak 25 peratus apabila pengguna bergerak dan peranti mereka bertukar dari satu titik akses ke titik akses yang lain. Ciri ini dilihat mungkin sangat berguna untuk lokasi-lokasi seperti kampus universiti ataupun kolej, stadium, dewan konvensyen dan sebagainya.
IEEE dijangka akan merasmikan spesifikasi penuh piawaian WiFi 8 pada tahun 2028. Teknologi ini diharap akan membolehkan teknologi-teknologi yang sedang dibangunkan sekarang untuk sedia digunakan apabila teknologi-teknologi ini adalah lebih mudah untuk diakses dan semakin umum penggunaannya, oleh pengguna biasa dan juga untuk sektor-sektor lain.
