
PETALING JAYA – Syarikat kad pintar, IF Security Solution Sdn. Bhd. (IFSS Malaysia) hari ini mengumumkan pembukaan kemudahan kad pintar berskala besar di sini, dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 40 juta kad bank dan kad SIM setahun bagi satu syif, yang boleh ditingkatkan kepada kira-kira 80 juta unit setahun bagi dua syif.
Pusat Perkhidmatan Pemperibadian Serantau (RPS Centre) IFSS Malaysia itu dibangunkan dengan kerjasama IF Security Solution Pte. Ltd. (IFSS), penyedia penyelesaian pembayaran yang berpangkalan di Singapura dan mempunyai pangkalan pelanggan merangkumi 110 pelanggan bank di lebih 40 rantau, serta rakan kongsi peralatan dan projek dari Hong Kong dan Macau.
Dengan 10 barisan pengeluaran, RPS Centre akan menyediakan perkhidmatan pengeluaran, pemperibadian dan pemenuhan pesanan kad pintar secara menyeluruh untuk bank, syarikat teknologi kewangan (fintech), institusi kerajaan dan pengendali telekomunikasi.
RPS Centre mengendalikan pelbagai jenis kad termasuk kad kredit, debit, prabayar dan kad kerajaan yang dilengkapi jalur magnetik, cip sentuh dan tanpa sentuh, serta kad SIM fizikal dan eSIM untuk rangkaian 4G dan 5G.
Melalui Innovation Card Lab milik IFSS, pusat ini turut menawarkan kad premium dan khusus, termasuk kad logam, seramik, LED dan gold blast, serta kad mesra alam yang diperbuat daripada PVC kitar semula, PLA terurai dan PET-G, lengkap dengan pembungkusan premium yang sepadan.
Pengurus Besar IFSS Malaysia, Melvin Lee berkata, Malaysia menawarkan pangkalan pengeluaran kad pintar global yang berdaya saing dari segi kos, disokong oleh ekosistem elektronik yang kukuh serta kelebihan logistik.
“Malaysia juga merupakan antara negara terawal yang menggunakan cip dalam kad pengenalan kebangsaan dan pasportnya, sekali gus membolehkan negara ini membangunkan kepakaran tempatan yang mendalam dalam pengeluaran dokumen keselamatan.
“Ini memberikan kami kredibiliti tambahan sebagai pemain yang berpangkalan di Malaysia apabila kami berusaha mendapatkan projek, selain kelebihan dari segi kos operasi.
“Kami menyasarkan hasil kira-kira AS$25.6 juta atau sekitar RM104.5 juta setahun, dengan andaian kadar penggunaan kapasiti sebanyak 80 peratus bagi satu syif. Ini akan meletakkan IFSS Malaysia dalam kalangan lima pemain industri tempatan teratas,” katanya pada majlis pembukaan.
Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 58 juta kad aktif dalam edaran dan 45 juta sambungan SIM setiap tahun. Di seluruh dunia, kira-kira 8.3 bilion kad pintar telah dihantar pada tahun 2025, termasuk 2.94 bilion kad pembayaran EMV, 4.08 bilion kad SIM dan hampir 650 juta kad pengenalan kerajaan.
Secara lebih meluas, pasaran kad pintar global dianggarkan bernilai USD65.2 bilion pada tahun 2025 dan dijangka mencecah USD122.8 bilion menjelang tahun 2035, menurut Global Market Insights. – KOSMO! ONLINE
The post IFSS lancar kemudahan kad pintar, sasar hasil tahunan RM100 juta appeared first on Kosmo Online.






