sarah23/10/2026 - 14:51 Gambar laman web IFFS Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Okt - IF Security Solution Sdn Bhd (IFSS Malaysia) menyasarkan hasil tahunan RM104.5 juta menerusi pembukaan kemudahan pengeluaran kad pintar baharu di Petaling Jaya, Selangor, yang berkapasiti menghasilkan kira-kira 40 juta kad bank dan kad SIM setahun bagi operasi satu syif.
Sasaran hasil itu berdasarkan penggunaan 80% daripada kapasiti pengeluaran satu syif, manakala kemudahan yang dilengkapi 10 barisan pengeluaran tersebut turut menyasarkan pasaran antarabangsa termasuk Eropah, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Pengurus Besar IFSS Malaysia, Melvin Lee berkata, kemudahan yang dikenali sebagai Pusat Perkhidmatan Penyesuaian Kad Serantau (RPS Centre) itu juga mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada kira-kira 80 juta kad setahun sekiranya beroperasi dalam dua syif.
“Dengan kapasiti pengeluaran tahunan kira-kira 40 juta kad pintar bagi satu syif dan sehingga 80 juta bagi dua syif, kami menyasarkan hasil kira-kira AS$25.6 juta atau sekitar RM104.5 juta setahun, dengan andaian kadar penggunaan kapasiti sebanyak 80% bagi satu syif.
“Ini akan meletakkan IFSS Malaysia dalam kalangan lima pemain industri tempatan teratas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
RPS Centre dibangunkan dengan kerjasama IF Security Solution Pte Ltd (IFSS), penyedia rumusan pembayaran yang berpangkalan di Singapura dan mempunyai lebih 110 pelanggan bank di lebih 40 rantau, serta rakan kongsi peralatan dan projek dari Hong Kong dan Macau.
Kemudahan itu akan menyediakan perkhidmatan pengeluaran, penyesuaian dan pemenuhan pesanan kad pintar secara menyeluruh kepada bank, syarikat teknologi kewangan (fintech), institusi kerajaan dan pengendali telekomunikasi, termasuk kad kredit, debit, prabayar, kad kerajaan serta kad SIM fizikal dan eSIM untuk rangkaian 4G dan 5G.
Dilengkapi mesin berkelajuan tinggi, pusat berkenaan mampu menyesuaikan maklumat pada sehingga 1,600 kad bank sejam bagi setiap barisan pengeluaran dan 5,000 kad SIM sejam bagi setiap barisan SIM, selain memproses antara 1,500 hingga 2,000 sampul penghantaran kad sejam.
Menurut IFSS Malaysia, Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 58 juta kad aktif dalam edaran dan 45 juta sambungan SIM setiap tahun, manakala kira-kira 8.3 bilion kad pintar dihantar di seluruh dunia pada 2025. Berdasarkan unjuran Global Market Insights yang dipetik syarikat itu, pasaran kad pintar global bernilai AS$65.2 bilion pada 2025 dan dijangka meningkat kepada AS$122.8 bilion menjelang 2035.
Melvin berkata, kelebihan Malaysia dari segi kos operasi, ekosistem elektronik yang kukuh serta kemudahan logistik akan membantu syarikat memperluas pasaran global, selain menawarkan perkhidmatan sehenti daripada pengeluaran dan penyesuaian kad pintar sehingga pemenuhan pesanan.- DagangNews.com





