KLANG - Hampir 500 pengunjung memeriahkan program Iftar Mega bersama GM Klang 2026 yang berlangsung di Dataran GM Klang, Bandar Botanik di sini pada Jumaat.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Sinar Harian itu bermula seawal jam 5.30 petang dengan pelbagai pengisian menarik sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh penyanyi dan anggota kumpulan nasyid UNIC, Dr Fitri Haris, selain persembahan nasyid daripada Bengkel Daya Klang.
Orang ramai yang hadir turut menikmati juadah yang disediakan pelatih orang kurang upaya (OKU) dari Bengkel Daya Klang sambil meluangkan masa dalam suasana santai di kawasan terbuka itu.
Suri rumah, Pitrianah Petjoh, 36, berkata, program itu diketahui ketika melayari Facebook sebelum membuat keputusan untuk hadir bersama dua anaknya.
“Kami datang untuk cuba pengalaman berbuka puasa beramai-ramai buat kali pertama.
“Kami buat persediaan dengan beli makanan di bazar Ramadan dan bawa sendiri pinggan untuk makan bersama di sini,” katanya.
**media[3456922]**
Pengunjung, Muhammad Behtash Arrauf Jaffar, 45, yang hadir bersama lima sekeluarga memaklumkan tidak pernah melepaskan peluang menyertai iftar dianjurkan bersama Sinar Harian.
“Program seperti ini sangat baik kerana dapat himpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
"Kita bukan sahaja berbuka puasa bersama keluarga, tetapi juga bersama komuniti yang lebih besar.
“Selain itu, ia memberi peluang kepada orang ramai untuk menyantuni golongan kurang bernasib baik,” ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Ikram Abdul Wahab, 27, berkata, dia hadir bersama empat rakan bagi merasai pengalaman berbuka puasa di GM Klang buat kali pertama.
"Secara kebetulan saya beli-belah untuk persiapan raya dan ada hebahan memaklumkan program ini. Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang.
"Banyak aktiviti menarik diadakan dan suasananya juga meriah,” katanya.
Peniaga, Dayani Daud, 45, pula berkata, dia mengetahui mengenai program itu melalui adiknya sebelum membuat keputusan untuk hadir bersama enam ahli keluarganya.
"Saya suka suasana di sini yang luas dan selesa dan ini kali pertama kami berbuka puasa di GM Klang dan anak-anak juga sangat seronok.
"Program seperti ini bukan sahaja merapatkan silaturahim, malah secara tidak langsung membantu peniaga sekitar menambah pendapatan,” katanya.
Sementara itu, bagi Fitri, beliau menyifatkan penganjuran program Iftar Mega GM Klang sebagai inisiatif yang memberi aura positif dalam menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang.
"Lebih istimewa jelajah iftar kali ini turut libatkan anak-anak istimewa, mereka diraikan dalam suasana penuh kasih sayang,” katanya yang turut menyambut baik penglibatan pihak korporat yang tampil menyokong penganjuran program seumpama itu.
**media[3456926]**
Bantu usahawan OKU
Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang, Norsuhaida Othman berkata, kolaborasi bersama komuniti OKU itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat menyokong pembangunan keusahawanan golongan berkenaan.
Menurutnya, inisiatif itu selari peranan GM Klang yang sentiasa menggalakkan penyertaan usahawan tempatan dalam aktiviti perniagaan termasuk melalui penganjuran Bazar Ramadan dan Bazar Raya.
"Kami juga menjemput usahawan daripada komuniti MyOKU untuk turut serta dan berdiri bersama kami dalam pelbagai aktiviti perniagaan yang dianjurkan di GM Klang.
"Kolaborasi ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka menonjolkan bakat dan kebolehan, malah membuka ruang untuk mengembangkan potensi dalam bidang keusahawanan,” katanya.
**media[3456927]**
Tambahnya, sempena Ramadan, GM Klang turut menitikberatkan aspek komuniti sebagai elemen penting dalam pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pada masa sama, GM Klang turut mengajak orang ramai mengunjungi pusat beli-belah tersebut sepanjang Ramadan bagi mendapatkan pelbagai produk keperluan Aidilfitri.
"Pengunjung bukan sahaja boleh beli-belah di Bazar Raya, malah menikmati juadah berbuka puasa yang dijual di Bazar Ramadan yang disediakan.
"GM Klang beroperasi sehingga jam 10 malam setiap hari bagi memberi kemudahan kepada pengunjung membeli persiapan Hari Raya,” katanya.



