
KUALA LUMPUR 15 Dis – IHH Healthcare Bhd terus memperkukuh strategi pertumbuhan jangka panjangnya di India susulan kejayaan menyelesaikan tawaran tender mandatori bagi Fortis Healthcare Ltd dan Fortis Malar Hospitals Ltd.
Dengan pegangan kini meningkat kepada 31.17% dalam Fortis dan 62.73% dalam Malar, kumpulan itu menyasarkan untuk mempertingkat kecekapan operasi, memacu inovasi serta meningkatkan mutu penjagaan pesakit di seluruh rangkaian hospitalnya di India.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH Healthcare, Dr Prem Kumar Nair berkata penyempurnaan tawaran terbuka Fortis membolehkan kumpulan melangkah lebih agresif ke fasa pertumbuhan seterusnya di India.
Menurutnya, langkah itu sejajar dengan pelaksanaan transformasi menyeluruh peringkat kumpulan bagi memastikan kelestarian perniagaan jangka panjang.
“Syarikat berada pada kedudukan yang kukuh untuk mempercepat inovasi, memperkukuh penjagaan pesakit dan menyampaikan nilai jangka panjang dalam landskap penjagaan kesihatan India yang berkembang pesat.
“Menerusi kerjasama strategik, termasuk sinergi lebih mendalam antara Fortis Healthcare dan Gleneagles Healthcare India, syarikat berhasrat membuka potensi kecekapan operasi dan meningkatkan penyampaian penjagaan kepada pesakit di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
IHH Healthcare melihat India sebagai antara pasaran pertumbuhan paling menarik, disokong oleh peningkatan pendapatan, liputan insurans yang lebih meluas serta permintaan yang semakin tinggi terhadap rawatan kompleks.
Sementara itu, Ketua Pegawai Korporat Kumpulan, Ashok Pandit berkata India kekal sebagai peluang pertumbuhan utama buat kumpulan, didorong oleh pertumbuhan volum pesakit yang konsisten dan peningkatan kerumitan klinikal.
Menurut beliau, faktor struktur seperti peningkatan pendapatan, peluasan perlindungan insurans dan permintaan terhadap rawatan khusus menjadi pemacu kepada pertumbuhan hasil yang mampan.
“Dengan tadbir urus kukuh dan pelaburan berterusan dalam teknologi perubatan canggih, IHH Healthcare berada pada kedudukan terbaik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap penjagaan berkualiti tinggi.
“Syarikat sedang memperluas jejak operasi dan berada di landasan untuk meningkatkan kapasiti lebih satu pertiga kepada kira-kira 7,000 katil menjelang 2028,” katanya.
Ketika ini, IHH Healthcare mengendalikan rangkaian gabungan 35 hospital dengan lebih 5,000 katil di 11 negeri di India.
Dengan memanfaatkan sinergi operasi dan kewangan, kumpulan itu menyasarkan penambahan kira-kira 2,000 katil baharu di India menjelang 2028 di samping memperkukuh kecemerlangan klinikal dan liputan geografi.
IHH Healthcare mengendalikan jenama penjagaan kesihatan antarabangsa termasuk Acibadem, Gleneagles, Fortis, Island, Mount Elizabeth, Pantai, Parkway dan Prince Court di 10 negara, termasuk Malaysia, Singapura, Turkiye, India dan China.
Awal tahun ini, kumpulan tersebut turut memperbaharui identiti jenamanya bagi mencerminkan aspirasi untuk menjadi peneraju penjagaan kesihatan global, dengan penekanan kepada inovasi bermakna, perkongsian strategik dan sinergi lebih kukuh merentas ekosistem penjagaan kesihatan. - DagangNews.com

