
KUALA LUMPUR 15 Dis – Malaysia Aviation Group (MAG) melancarkan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0), hala tuju lima tahun 2026–2030 yang memfokuskan pertumbuhan berskala dan berdisiplin serta menetapkan sasaran kewangan dan operasi jelas merentasi keseluruhan ekosistem penerbangan kumpulan.
LTBP3.0 dibangunkan berasaskan momentum kukuh di bawah LTBP2.0 yang diperkenalkan pada 2020, ketika MAG melaksanakan penstrukturan kewangan menyeluruh dengan pengurangan liabiliti melebihi RM15 bilion serta penghapusan RM10 bilion hutang legasi.
Sejak itu, prestasi kumpulan menunjukkan lonjakan ketara, termasuk tiga tahun berturut-turut keuntungan operasi dan dua tahun berturut-turut pendapatan bersih positif selepas cukai.
MAG turut mencatatkan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) 84% setakat tahun ini berbanding 80% pada 2024, selari dengan penambahbaikan berterusan merentasi titik sentuhan pelanggan.
Dalam tempoh sama, kumpulan menerima 22 pesawat generasi baharu, menyokong pemodenan armada, peluasan rangkaian dan pengalaman pelanggan yang lebih baik.
Menurut MAG, hasil bukan penerbangan kini menyumbang 18% daripada pendapatan kumpulan pada 2024, dipacu oleh pertumbuhan konsisten dan peluang baharu termasuk penyewaan Hangar 4 di Lapangan Terbang Subang bagi memperluas kapasiti serta keupayaan MRO.
Dari sudut pendigitalan, penggunaan sistem middleware dalaman, penambahbaikan Live Chat dan pengenalan chatbot berasaskan AI telah meningkatkan CSI pusat hubungan kepada 91% setakat tahun ini, berbanding 80% pada 2024.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata pencapaian di bawah LTBP2.0 memberi keyakinan kepada kumpulan untuk melangkah ke fasa seterusnya dengan sasaran yang lebih tinggi.
“LTBP3.0 menandakan peralihan daripada fasa penstabilan kepada pertumbuhan berskala dan berdisiplin. Pelan ini memfokuskan strategi rangkaian dan fleet bagi menyokong peluasan, kecekapan serta pengalaman pelanggan yang lebih tinggi, selain aspirasi melihat Malaysia Airlines berada dalam kedudukan 10 syarikat penerbangan terbaik dunia Skytrax menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada teras LTBP3.0, MAG menetapkan sasaran boleh ukur sejajar dengan aspirasi Destinasi 2030, termasuk meletakkan Malaysia Airlines dalam 10 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia Skytrax daripada kedudukan #27 ketika ini, menggandakan hasil kumpulan kepada lebih RM24 bilion, serta mencatat pertumbuhan lebih 60% hasil pihak ketiga dalam perniagaan perkhidmatan penerbangan.
Bagi mencapai sasaran tersebut, pelan ini berpaksikan empat tonggak strategik utama. Di bawah agenda Premium APAC Carrier, MAG menyasarkan peluasan kapasiti melebihi 50% dengan kadar pertumbuhan purata tahunan 8.5%, disokong pelaburan dalam 40 A330neo, 43 Boeing 737-8 dan 12 Boeing 737-10, ke arah fleet utama moden berjumlah 116 pesawat menjelang 2035.
MAG menyasarkan peluasan capaian global merangkumi lebih 1,100 destinasi di seluruh dunia melalui kerjasama strategik.
Tonggak kepimpinan operasi pula memberi fokus kepada pembangunan bakat, kepakaran teknikal dan amalan terbaik merentas fungsi, manakala perniagaan berdaya tahan menekankan pertumbuhan hasil pihak ketiga melalui kargo, katering dalam penerbangan dan sinergi komersial dalaman.
Secara keseluruhan, LTBP3.0 menyediakan pelan tindakan jelas untuk pertumbuhan mampan MAG, dengan penekanan kepada sasaran angka yang konkrit, peluasan kapasiti, kepelbagaian hasil dan peningkatan pengalaman pelanggan, selari dengan peranan kumpulan dalam menyokong keterhubungan global Malaysia dan pembangunan ekonomi negara. - DagangNews.com


