IHH Healthcare umum pelantikan Nik Norzrul Thani sebagai pengerusi

Business & Finance
27 Jun 2024 • 7:18 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IHH Healthcare umum pelantikan Nik Norzrul Thani sebagai pengerusi

johardy

27/06/2024 - 07:18

KUALA LUMPUR 27 Jun - IHH Healthcare Bhd melantik Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, 63, sebagai pengerusi bebas bukan eksekutifnya, berkuat kuasa 26 Jun 2024.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IHH berkata Nik Norzrul menggantikan Azlan Hashim, 67, yang telah bersara sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif kumpulan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat pada 28 Mei 2024.

Penyedia penjagaan kesihatan bersepadu itu berkata Nik Norzrul kini merupakan perunding di firma guaman, Zaid Ibrahim & Co.

image is not available

"Kepakaran beliau termasuk memberikan nasihat undang-undang mengenai kewangan Islam, perbankan, kewangan luar pesisir, penstrukturan semula hutang, dan undang-undang antarabangsa, korporat dan komersial," kata IHH.

“Nik Norzrul juga menyelia urus niaga penyusunan semula hutang dan korporat dan penerbitan sekuriti hutang swasta, merangkumi instrumen kewangan Islam untuk pelanggan domestik dan antarabangsa,” katanya.

IHH berkata Nik Norzrul memegang jawatan pengarah dalam Malaysian Rating Corporation, Cagamas Holdings, Amanah Saham Nasional, MARC Ratings, Zico Trust, SD Guthrie, T7 Global, dan Pertama Digital. - DagangNews.com