Ihya' Ramadan: Yayasan MBI peruntuk RM4 juta, edar 600 pek juadah sehari

23 Feb 2026 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 23 FEB: Dalam semangat berkongsi rezeki dan kebersamaan, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meneruskan tradisi edaran juadah berbuka puasa dengan peruntukan kira-kira RM4 juta di bawah program Ihya’ Ramadan tahun ini.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata program berkenaan merupakan antara inisiatif utama yang dilaksanakan setiap tahun sebagai usaha menyantuni masyarakat serta memudahkan urusan berbuka puasa.

“Program edaran juadah berbuka puasa ini merupakan tradisi tahunan yang sentiasa dilaksanakan oleh Yayasan MBI setiap kali Ramadan dan ia adalah sebahagian daripada program Ihya’ Ramadan tahun ini,” katanya kepada Media Selangor.

image is not available
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada media selepas program Edaran Juadah Berbuka di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, sebanyak 600 pek juadah diagihkan setiap Isnin hingga Jumaat di Bangunan Darul Ehsan di sini.

“Selain itu, kita turut menyediakan tambahan 400 pek juadah setiap Rabu di Bangunan SUK bagi memenuhi keperluan penerima di lokasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, program berkenaan sebelum ini turut dilaksanakan di beberapa bangunan kerajaan lain serta institusi pendidikan bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai penerima.

image is not available
Kakitangan menerima makanan ketika program Edaran Juadah Berbuka di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Bagaimanapun jelasnya, faktor kekangan masa dan kekurangan petugas menyebabkan pelaksanaannya kini difokuskan kepada dua lokasi sahaja.

“Sebelum ini kita pernah laksanakan di bangunan kerajaan lain dan institusi pendidikan, namun kekangan masa serta petugas menyebabkan kita fokus kepada dua lokasi sahaja iaitu Bangunan Darul Ehsan dan Bangunan SUK,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut terlibat dalam penganjuran program di bazar Ramadan termasuk agihan kupon digital bersama platform PLATS, sekali gus menambah komitmen harian sepanjang bulan tersebut.