
SHAH ALAM, 23 FEB: Dalam semangat berkongsi rezeki dan kebersamaan, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meneruskan tradisi edaran juadah berbuka puasa dengan peruntukan kira-kira RM4 juta di bawah program Ihyak Ramadan tahun ini.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata program berkenaan merupakan antara inisiatif utama yang dilaksanakan setiap tahun sebagai usaha menyantuni masyarakat serta memudahkan urusan berbuka puasa.
“Program edaran juadah berbuka puasa ini merupakan tradisi tahunan yang sentiasa dilaksanakan oleh Yayasan MBI setiap kali Ramadan dan ia adalah sebahagian daripada Program Ihyak Ramadan tahun ini,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, sebanyak 600 pek juadah diagihkan setiap Isnin hingga Jumaat di Bangunan Darul Ehsan di sini.
“Selain itu, kita turut menyediakan tambahan 400 pek juadah setiap Rabu di Bangunan SUK bagi memenuhi keperluan penerima di lokasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan sebelum ini turut dilaksanakan di beberapa bangunan kerajaan lain serta institusi pendidikan bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai penerima.

Bagaimanapun jelasnya, faktor kekangan masa dan kekurangan petugas menyebabkan pelaksanaannya kini difokuskan kepada dua lokasi sahaja.
“Sebelum ini kita pernah laksanakan di bangunan kerajaan lain dan institusi pendidikan, namun kekangan masa serta petugas menyebabkan kita fokus kepada dua lokasi sahaja iaitu Bangunan Darul Ehsan dan Bangunan SUK,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut terlibat dalam penganjuran program di bazar Ramadan termasuk agihan kupon digital bersama platform PLATS, sekali gus menambah komitmen harian sepanjang bulan tersebut.




