Ijtihad fiqh kontemporari teras pengurusan haji moden

21 May 2026 • 2:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ijtihad fiqh kontemporari teras pengurusan haji moden
Dr Zulkifli berkongsi pengalaman sebagai panel speaker bersama menteri-menteri agama dan haji dari seluruh dunia.
Image from: Ijtihad fiqh kontemporari teras pengurusan haji moden

JEDDAH – Ijtihad fiqh kontemporari kini menjadi teras utama dalam pengurusan ibadah haji moden yang semakin kompleks, melibatkan jutaan jemaah dari seluruh dunia serta perubahan pesat dari sudut teknologi, kesihatan dan pentadbiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perkembangan semasa dunia Islam menuntut pendekatan ijtihad yang lebih dinamik bagi memastikan hukum dan pengurusan ibadah kekal relevan dengan realiti semasa tanpa menjejaskan prinsip syariah.

Beliau berkata, antara isu utama yang dibincangkan pada Grand Hajj Symposium ialah bagaimana fiqh semasa, maqasid syariah dan teknologi boleh digabungkan bagi memperkukuh ekosistem pengurusan haji.

“Covid-19 memerlukan begitu banyak fatwa-fatwa baharu dan hukum-hukum baharu yang memerlukan satu kajian yang pantas, mendalam dan tepat. Ini yang kita perlukan, bagaimana kita berinteraksi dan beradaptasi dengan perubahan dan realiti semasa,” katanya.

Cabaran baharu perlukan ijtihad semasa

Menurut beliau, ibadah haji yang melibatkan jutaan jemaah setiap tahun kini berdepan pelbagai cabaran baharu termasuk isu kesihatan, keselamatan, kawalan pergerakan dan pengurusan operasi berskala besar.

Katanya, keadaan itu menjadikan ijtihad bukan lagi bersifat teori semata-mata, sebaliknya menjadi keperluan praktikal dalam memastikan kelancaran ibadah.

Dalam masa sama, beliau berkata pendekatan maqasid syariah menjadi asas penting dalam setiap pertimbangan hukum dan pengurusan, yang menekankan penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Malaysia kongsi pengalaman pengurusan haji

Malaysia turut diberi penghormatan berkongsi pengalaman pada Grand Hajj Symposium yang menjadi platform tahunan Kerajaan Arab Saudi sejak lebih 50 tahun lalu.

Beliau berkata, penyertaan Malaysia sebagai panel speaker bersama menteri-menteri agama dan haji dari seluruh dunia mencerminkan pengiktirafan terhadap pengalaman negara dalam pengurusan haji.

Katanya, Malaysia mempunyai kerangka tersendiri melalui pelaksanaan Muzakarah Haji Kebangsaan yang menghimpunkan pakar syariah, perubatan dan pentadbiran setiap tahun bagi membincangkan isu semasa.

“Insya-ALLAH kita mampu untuk menangani perubahan dan realiti yang sentiasa berubah ini,” katanya.

**media[3528116]**

Lembaga Tabung Haji menjadi antara institusi utama yang mengaplikasikan pendekatan pengurusan haji berasaskan fiqh semasa dan sistem pentadbiran moden.

Selain itu, JAKIM turut memainkan peranan dalam memperkukuh kerangka fatwa dan panduan ibadah haji di Malaysia.

Menurut beliau, konsep ijtihad kolektif yang menggabungkan pakar syariah, perubatan, teknologi dan sosial semakin penting dalam mendepani cabaran baharu ibadah haji.

Teknologi ubah landskap pengurusan haji

Perbincangan di simposium itu turut menyentuh penggunaan teknologi termasuk sistem pendaftaran elektronik, aplikasi panduan ibadah serta platform Nusuk yang membantu memudahkan urusan jemaah.

Namun, beliau menegaskan penggunaan teknologi perlu dipandu dengan nilai dan etika Islam bagi memastikan roh ibadah haji tidak terjejas.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota Putera Mohammed Salman serta Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah atas usaha berterusan memperkasa pengurusan dan kemudahan jemaah haji.

Katanya, penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi ketika ini menjadikan perjalanan ibadah haji lebih tersusun, selamat dan efisien.

“Kita dapat lihat perjalanan haji semakin baik. Sistem dan proses pengurusan haji juga semakin baik dan semakin membantu jemaah haji dari Malaysia mahupun seluruh dunia,” katanya.

Malaysia, katanya, akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Arab Saudi dalam mempertingkatkan pengurusan haji serta memperluas peranan dalam perbincangan fiqh dan ijtihad kontemporari di peringkat antarabangsa.