Ijtimak Terengganu tanam semula keyakinan umat

LocalPolitics
5 Apr 2026 • 2:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di Terengganu menjadi titik penting dalam usaha membuka lembaran baharu ke arah penyatuan umat Islam di peringkat global. Gambar kecil: Hairul Azhar

DI tengah-tengah dunia yang semakin tidak menentu, ketika umat Islam berhadapan dengan perang, perpecahan, tekanan geopolitik, cabaran ekonomi dan serangan pemikiran yang tidak pernah berhenti, penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di Terengganu muncul sebagai satu peristiwa yang besar maknanya.

Selama tiga hari, dari 2 hingga 4 April 2026, bumi Terengganu Darul Iman menjadi titik pertemuan para pemimpin, ulama, sarjana, tokoh masyarakat dan rakyat biasa dari seluruh rantau Alam Melayu. Delegasi dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam hadir membawa satu harapan yang sama, iaitu untuk melihat umat Islam kembali bersatu dan mampu menghadapi cabaran semasa dengan lebih yakin dan lebih kuat.

Apa yang menjadikan himpunan ini begitu istimewa ialah kejayaannya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu wadah yang tersusun untuk membincangkan isu-isu besar yang sedang menghimpit umat.

Daripada soal perpaduan, kepimpinan, ekonomi, sejarah, pendidikan, mazhab, budaya dan masa depan Alam Melayu, semuanya dibincangkan secara terbuka dan terus terang.

Buat pertama kali selepas sekian lama, satu pentas berjaya menghimpunkan tokoh politik daripada pelbagai latar belakang, NGO, agamawan, ahli akademik dan masyarakat awam dalam suasana yang lebih harmoni.

Walaupun datang daripada parti, organisasi dan aliran pemikiran yang berbeza, mereka akhirnya berkongsi satu kesedaran yang sama, iaitu umat Islam tidak lagi mempunyai ruang untuk terus berpecah.

Inilah kejayaan paling besar Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026. Ia berjaya menghidupkan semula wacana tentang perpaduan ummah sebagai satu keperluan mendesak.

Dalam keadaan politik dan masyarakat hari ini yang semakin terpecah, program ini tampil mengingatkan bahawa sejarah tidak pernah berpihak kepada umat yang berpecah-belah.

Lebih membanggakan, himpunan ini berlangsung dalam suasana yang cukup meriah dan mendapat sambutan yang luar biasa. Ribuan peserta memenuhi Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak sepanjang tiga hari program berlangsung.

Konvoi lebih 3,000 motosikal bersama empat Menteri Besar SG4 sebelum acara kemuncak pula menjadi simbol bahawa agenda perpaduan ini turut mendapat sambutan daripada rakyat biasa.

Suasana di lokasi program yang dibanjiri peserta berbaju Melayu lengkap, bendera Malaysia dan Palestin, serta penyertaan tokoh dari dalam dan luar negara memberikan imej yang kuat bahawa himpunan ini mempunyai semangat serantau dan antarabangsa.

Rakyat Terengganu sewajarnya berbangga kerana negeri ini telah menjadi pusat pertemuan dan simbol kebangkitan semula semangat kesatuan umat di Alam Melayu.

Kekuatan utama himpunan ini juga terletak pada keberanian penganjur membincangkan isu-isu besar yang sering dielakkan oleh banyak pihak. Konflik di Palestin, Gaza dan Asia Barat; ketegangan Iran-Israel-Amerika Syarikat; kemelut politik umat Islam; perpecahan sesama sendiri; kelemahan ekonomi umat; cabaran pendidikan dan kehilangan jati diri; semuanya dibicarakan tanpa berselindung.

Kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa seperti Tan Sri Abdul Hadi Awang, Dr Zakir Naik dan Duta Besar Iran ke Malaysia menjadikan himpunan ini lebih bermakna. Mereka membawa mesej yang sama, iaitu umat Islam tidak akan mampu mempertahankan maruah dan masa depan mereka jika terus berpecah.

Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, misalnya menyeru supaya umat Islam di seluruh dunia bersatu menghadapi ancaman terhadap negara-negara Islam, khususnya dalam suasana perang dan ketegangan yang sedang melanda Asia Barat.

Seruan itu memperlihatkan bahawa apa yang dibincangkan di Kuala Nerus bukan sekadar isu politik tempatan, tetapi berkait secara langsung dengan masa depan dunia Islam.

Acara kemuncak menerusi Pidato Penyatuan Ummah pula memperlihatkan satu perkara yang jarang berlaku, iaitu pemimpin daripada pelbagai parti dan latar belakang politik duduk di atas pentas yang sama untuk bercakap tentang perpaduan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Pengerusi Gabungan Nasionalis, Aminuddin Yahaya dan Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, masing-masing menyampaikan mesej yang hampir sama.

Mereka mungkin datang daripada wadah politik yang berbeza, tetapi mereka sepakat bahawa umat Islam dan orang Melayu tidak lagi boleh terus berpecah jika mahu mempertahankan masa depan mereka. Ada yang menyeru supaya perbezaan mazhab diketepikan.

Ada yang mengingatkan bahawa rakyat sudah mahu melihat perpaduan, tetapi pemimpin masih gagal mencapainya. Ada yang menegaskan bahawa kuasa politik mesti digunakan untuk mempertahankan agama dan umat. Dan ada juga yang mengingatkan bahawa perpaduan mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 ini juga menghasilkan Deklarasi Alam Melayu yang mengandungi sembilan perkara penting.

Deklarasi tersebut menegaskan keperluan menjadikan Islam sebagai asas perpaduan ummah, menyeru pemimpin dan pertubuhan Melayu-Islam bersatu, menuntut kepimpinan yang berintegriti, menyokong pendekatan yang meraikan perbezaan mazhab, memperbetulkan semula sejarah ketamadunan Islam Alam Melayu, memartabatkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi serta memperkukuh ekonomi umat.

Deklarasi ini penting kerana ia memberikan satu bentuk hala tuju yang jelas kepada himpunan ini. Lebih penting, penganjur turut mengumumkan penubuhan Sekretariat Alam Melayu yang akan berpusat di Kuala Lumpur sebagai langkah susulan untuk memastikan segala resolusi dan deklarasi yang dicapai tidak berakhir sebagai catatan di atas kertas semata-mata.

Sebenarnya, kejayaan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 tidak hanya boleh diukur melalui jumlah kehadiran atau seramai mana tokoh yang hadir tetapi kejayaan sebenarnya terletak pada kemampuan program ini membina semula keyakinan bahawa perpaduan ummah masih boleh dicapai.

Dalam suasana ramai daripada kita yang sudah hilang harapan terhadap politik, muak dengan perbalahan dan pesimis terhadap masa depan, himpunan ini berjaya menanam semula keyakinan bahawa umat Islam masih mempunyai ruang untuk kembali duduk semeja, berbincang dan mencari titik persamaan.

*Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid ialah Rektor University College TATI merangkap Ahli Lembaga Pengarah The Future Research