KUALA NERUS – Sembilan perkara utama digariskan dalam Deklarasi Alam Melayu 2026 sebagai komitmen memperkukuh perpaduan ummah dan memartabatkan ketamadunan Islam di rantau ini.
Resolusi itu dibentangkan oleh Setiausaha Himpunan Alam Melayu 2026, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, hasil kesepakatan pemimpin, ulama, sarjana dan tokoh masyarakat dari sembilan buah negara termasuk Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina, Kemboja, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Vietnam dan Malaysia.
Menurutnya, deklarasi tersebut menegaskan bahawa Islam merupakan asas perpaduan yang berpaksikan keadilan, kesederhanaan dan kebenaran bagi menjamin kesejahteraan sejagat.
"Kita juga menggesa semua pemimpin, parti politik dan pertubuhan umat Islam supaya bersatu bagi menjamin kuasa politik umat Islam.
"Selain itu, penting untuk memastikan pemimpin yang dilantik adalah dalam kalangan individu yang bertakwa, berintegriti serta kompeten," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pidato Penyatuan Ummah sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 di pekarangan Kompleks Sukan Terengganu, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut mengenai aspek pendidikan dan identiti, Wan Sukairi menjelaskan deklarasi itu turut memberi penekanan kepada penilaian semula sejarah peradaban Islam di Alam Melayu bagi membersihkannya daripada penyelewengan naratif.
Ujarnya, langkah itu termasuk membetulkan semula silibus sejarah di institusi pendidikan bagi memperkukuh jati diri bangsa, selain memartabatkan bahasa Melayu serta tulisan Jawi.
"Deklarasi ini juga menyokong Risalah Amman (The Amman Message) yang memperakui pengikut lapan mazhab sebagai ahli kiblat bagi menangani perbezaan antara mazhab," tambahnya.
Dari sudut ekonomi, beliau menegaskan keperluan memperluas rangkaian perniagaan dan rantaian bekalan produk Muslim bagi memperkukuh ekonomi ummah secara menyeluruh.
"Kita menyeru umat Islam supaya mengutamakan perniagaan dan produk Muslim sebagai pilihan bagi menyemarakkan jihad ekonomi ummah," katanya.
Tambah beliau, sebagai langkah susulan bagi menjayakan deklarasi tersebut, sebuah Sekretariat Alam Melayu yang melibatkan tokoh-tokoh rentas negara akan ditubuhkan dan berpusat di Kuala Lumpur.
