

MERSING - Seekor ikan lumba-lumba seberat kira-kira 35 kilogram (kg) ditemui terdampar di kawasan pesisir Pantai Air Papan di sini pada pagi Sabtu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Mersing, Nurnajibah Abdullah berkata, ikan lumba-lumba itu ditemukan oleh anggota petugas ketika hendak meletakkan bendera amaran pada sekitar jam 8.48 pagi.
"Ketika ditemui ikan lumba-lumba itu mengalami kecederaan di bahagian ekor.
"Lokasi ikan lumba-lumba itu terdampar pada jarak 800 meter dari menara. Petugas telah melepaskan ikan lumba-lumba tersebut tetapi gagal berikutan air pasang dan ombak kuat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
**media[2040698]**
Menurut beliau, APM Mersing bertindak menghubungi Pejabat Perikanan untuk tindakan selanjutnya.
"Petugas Pejabat Perikanan telah hadir ke lokasi dan mengambil ikan lumba-lumba tersebut untuk dilepaskan di Teluk Buih, Mersing.
"Semasa kejadian cuaca cerah dan kawasan tersebut merupakan laluan ikan lumba-lumba," katanya.
