Ikat Perut Demi Belajar, Anak Yatim Piatu Ini Akhirnya Dibantu Steven Sim Hampir RM20,000

26 Jan 2026 • 12:20 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

BUKIT MERTAJAM – Tidak semua anak muda seusianya berpeluang menikmati hidup yang tenang.

Ketika ramai rakan sebaya sedang merancang masa depan dan membina kerjaya, seorang pemuda ini pula diuji dengan kehilangan kedua-dua ibu bapa dalam tempoh singkat, sebelum terpaksa berdikari sepenuhnya demi meneruskan kehidupan.

Ada hari duit cukup-cukup makan.

Ada hari terpaksa ikat perut.

Namun dia tetap kuat, sebab satu sahaja tekadnya, mahu habiskan pengajian walau apa pun yang terjadi.

Kesusahan hidup yang dialami seorang penuntut universiti swasta selepas kehilangan ibu dan ayahnya tahun lalu sehingga terpaksa mengikat perut demi menamatkan pengajian November ini, akhirnya mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Menerusi hantaran Steven Sim Chee Keong di Facebook, anak tunggal tersebut baru sahaja kehilangan dua insan tersayang selang beberapa bulan akibat masalah hati dan barah.

Steven mengunjungi kediaman Selvestone, 25, di Sungai Jawi, sekali gus menyumbangkan RM20,000 bagi membiayai baki pengajiannya termasuk kos lain yang ditanggung.

Hidup susah sejak kecil

“Hidup mereka bertiga memang sangat susah sejak kecil. Tapi sekurang-kurangnya dulu Selveston ada tempat menagih kasih dan manja. Kini hanya tinggal dia seorang bergelar anak yatim piatu

“Bayangkan masa orang lain umur 25 tengah fikir nak mulakan hidup, dia pula tengah belajar macam mana nak bertahan bila semuanya runtuh serentak

“Dia sudah mula bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak umur 15 tahun demi untuk bantu ayah ibu, belanja harian, dan paling penting dia menabung untuk pendidikan

“Selveston tahu ayah dan ibu orang susah, dia sendiri perlu berdikari supaya tidak membebankan mereka,” kata beliau lagi.

Menurut Steven, kecekalan pemuda tersebut terbukti apabila dia sanggup bersengkang mata demi menyara keluarganya dengan bekerja separuh masa sebagai penghantar p-hailing.

Ikat perut demi teruskan pengajian

“Namun segalanya tergendala apabila kedua-dua mereka meninggal buat selamanya. Bukan takat menanggung hati, malah bebanan kewangan menjadi semakin berat

“Kini rumah keluarga kat Penang, tanggungan kehidupan kakak saudara berstatus orang kurang upaya (OKU), semuanya jatuh di bahu Selveston selain belanja sedia ada seperti yuran universiti, sewa rumah di Kuala Lumpur dan sebagainya

“Habis saja kelas, berjam-jam diluangkan atas motor. Hujung minggu pun dia tetap keluar cari rezeki. Dia kata dekat saya, ada hari duit memang tak cukup. Kerap kali kena ikat perut,” ujarnya.

Demi merealisasikan impian Selveston, beliau telah menyumbangkan hampir RM20,000 bagi mengurangkan beban yang ditanggung anak muda tersebut.

Bantuan hampir RM20,000 ringankan beban

“Jadi saya bantu yang paling asas dulu, supaya dia boleh stabil dan fokus sampai habis belajar. RM5,000 sumbangan awal untuk dia urus perkara yang paling mendesak, bagi dia tarik nafas

“Baki yuran universiti, sewa rumah, segala belanja tanggungan saya akan selesaikan, supaya dia boleh tamatkan pengajian dengan tenang. Keseluruhan hampir RM20,000,” tambah beliau lagi.

Bantuan itu diharap dapat memberi ruang buat Selvestone menarik nafas lega dan menamatkan pengajian tanpa lagi dibebani tekanan kewangan.

Kadang-kadang, satu huluran kecil memang cukup besar maknanya dalam hidup seseorang. – The Malaysian Update

The post Ikat Perut Demi Belajar, Anak Yatim Piatu Ini Akhirnya Dibantu Steven Sim Hampir RM20,000 appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article