
Yeay, IKEA kini rasmi memasuki pasaran Sabah Sarawak
IKEA Buka Gedung Online di Sabah Sarawak, Harga Sama Dengan Semenanjung. Berita baik buat rakyat Malaysia Timur yang selama ini terpaksa mengira bajet lebih untuk mendapatkan produk IKEA di Semenanjung Malaysia! Mulai hari ini, 4 Februari 2025, IKEA Malaysia secara rasmi melancarkan gedung dalam talian khas untuk Sabah dan Sarawak. Paling menarik? Harga barang ikonik IKEA di sini kini sama seperti di Semenanjung Malaysia.
Kalau sebelum ini, ramai yang terpaksa mengharungi kos penghantaran yang mahal atau menunggu lebih lama untuk dapatkan perabot idaman, sekarang semuanya berubah.

IKEA buka Pusat Pemenuhan sulungnya di Kuching, Sarawak
IKEA telah membuka Pusat Pemenuhan (Central Fulfillment Centre) baharu di Kuching untuk mempercepatkan proses penghantaran. Pusat Pemenuhan ini akan menyokong pembungkusan, pemasangan dan penghantaran produk IKEA yang dipesan melalui kedai atas talian terbaharu ini. Ianya dijangka lebih mudah dan lebih mampu milik, sekaligus mengukuhkan lagi kehadiran IKEA di Malaysia Timur.
Ini bermakna rakyat Sabah dan Sarawak boleh menikmati pengalaman membeli-belah dalam talian yang lebih pantas dan mudah – tanpa perlu risau tentang harga yang lebih tinggi.
IKEA buka peluang baharu untuk rakyat Malaysia Timur
Menurut Malcolm Pruys, Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, gedung dalam talian ini adalah sebahagian daripada strategi omni-saluran IKEA untuk memastikan jenama ini lebih dekat dengan pelanggan, tidak kira di mana mereka berada.
“Pelanggan kami di Sabah dan Sarawak berperanan penting dalam menjadikan IKEA satu jenama kegemaran di Malaysia. Dalam kami berusaha mengembangkan jangkauan kami dan memenuhi pelbagai keperluan rakyat Malaysia, kami di IKEA sentiasa mencari cara baharu untuk memberikan pengalaman membeli-belah terbaik kepada pelanggan kami. Dengan pelancaran gedung dalam talian ini, pelanggan di Sabah dan Sarawak kini boleh mendapatkan penyelesaian kelengkapan rumah berkualiti tinggi dengan lebih mudah – pada harga yang sama seperti di Semenanjung,” katanya.
Kami berbangga kerana dapat ‘meratakan’ jurang harga dengan pusat pemenuhan baharu kami di Kuching. Ini adalah satu lagi langkah penting dalam pertumbuhan kami di Malaysia, dan kami teruja untuk mengalu-alukan pelanggan kami di Sabah dan Sarawak serta menaik taraf lagi pengalaman IKEA di Malaysia Timur.”
Malcolm Pruys, Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia
Tambahnya lagi, kewujudan pusat pemenuhan baharu ini membolehkan penghantaran menjadi lebih cekap dan kos lebih kompetitif. Jadi, tak perlu lagi mengeluh tentang perbezaan harga atau masa menunggu yang terlalu lama.
Bagaimana nak shopping IKEA Online di Sabah Sarawak
Mudah sahaja. Bermula 4 Februari 2025, pelanggan di Sabah dan Sarawak boleh terus membuat pesanan melalui laman web khas di IKEA.my/EMstore. Semua produk adalah asli, terjamin dan dihantar dengan selamat ke rumah anda.
Bagi yang suka keistimewaan tambahan, daftar sebagai ahli IKEA Family secara percuma untuk mendapatkan berita terkini, promosi menarik dan kejutan eksklusif sepanjang tahun. Daftar sekarang di family.ikea.com.my.
Dengan harga yang sama, penghantaran lebih cepat dan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar, rakyat Sabah dan Sarawak kini boleh menikmati IKEA tanpa kompromi. Raya pun dah nak dekat, inilah masa untuk ubah ruang rumah anda dengan sentuhan minimalis ala IKEA.
Kalau nak cari inspirasi dekorasi rumah, mungkin ini cerita yang boleh anda jadikan pembakar semangat



