
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebut mengenai IKEA selain daripada perabot yang sering menjadi perhatian ramai, restoran Sweden juga menjadi kegemaran ramai khususnya menu seperti Meatball, ayam goreng, ais krim dan sebagainya.
Tampil mohon maaf dan lakukan kerja penyelenggaraan
Terbaharu IKEA tampil membuat permohonan maaf di atas penutupan sementara restoran Sweden di IKEA Cheras yang bermula 17 Jun untuk melakukan kerja penyelenggaraan.
Kenapa ditutup? Untuk kerja penyelenggaraan bagi mencapai tahap kebersihan tinggi
Menurut IKEA, penyelenggaraan ini untuk memastikan pihaknya mencapai piawaian tahap kebersihan tinggi yang ditetapkan oleh IKEA dan pihak berkuasa kesihatan Malaysia.
“Restoran Sweden IKEA Cheras kami ditutup bermula 17 Jun, sementara kami melakukan kerja penyelenggaraan untuk memastikan kami mencapai piawaian tahap kebersihan tinggi yang ditetapkan oleh IKEA dan pihak berkuasa kesihatan Malaysia,” jelasnya.
Meskipun restoran ditutup sementara, kafe dan bistro IKEA kami termasuk yang ada di IKEA Cheras masih dibuka.
“Pelanggan juga boleh terus menikmati Restoran Sweden di IKEA Damansara, Tebrau dan Batu Kawan. Terima akasih atas pemahaman dan kesabaran anda sementara kami berusaha untuk menyelesaikannya. Kami berharap dapat mengalu-alukan anda kembali tidak lama lagi.”
Tular notis Restoran Sweden IKEA Cheras diarah tutup 14 hari
Sebelum ini restoran IKEA di Cheras telah menjadi perhatian ramai selepas tular notis arahan penutupan selama 14 hari bermula 17 Jun sehingga 1 Julai daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang merupakan jabatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Notis penutupan yang dikeluarkan pada 17 Jun lalu ke atas restoran berkenaan difahamkan ada kaitan dengan isu standard kebersihan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, pegawai yang diberi kuasa dengan memerintahkan penutupan premis, Restoran IKEA Cheras di alamat No.2A Jalan Cochrane, Taman Maluri, 55100 Kuala Lumpur.
“Selama tempoh 14 hari mulai 17 Jun jam 10 malam hingga 1 Julai atas alasan ianya tidak bersih dan disucikan keadaannya sehingga mungkin mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang awam,” jelas dalam notis tersebut.

Ramai kritik kebersihan kurang memuaskan
Notis penutupan itu secara tidak langsung turut menarik perhatian orang ramai yang mengkritik tahap kebersihan mereka.
Bahkan ada yang mendakwa peralatan seperti sudu, garfu dan cawan tidak dibersihkan dengan baik sehingga masih meninggalkan kesan penggunaan dan sebagainya.
Terdapat pengguna menyifatkan lebih rela menggunakan tangan disebabkan alatan seperti sudu dan garfu yang kotor. Pun begitu tidak dapat dipastikan sama ada dakwaan berkenaan adalah benar atau sebaliknya.
View on Threads
Ada yang dakwa alami keracunan makanan
Malah ada yang mendakwa pernah kena keracunan makanan selepas makan di restoran berkenaan.
Terdapat juga pengguna berpendapat kaunter layan diri perlu ditambah baik. Perkara itu disebabkan ia tidak bersih kerana memberi ruang kepada orang ramai untuk menyentuh makanan yang mana boleh menyebarkan kuman dan bakteria.
Selain itu, ada pelanggan yang mengkritik tindakan segelintir indidvidu yang tidak membersihkan meja dan memulangkan semula pinggan ke tempat disediakan apabila selesai menikmati makanan di restoran tersebut.
View on Threads
Berikut adalah komen netizen:
“Tapi kan saya tak tahu makanan cuma kutleri dia kotor. Nampak bekas-bekas tak basuh betul. Saya pergi singki basuh atau guna sanitiser saya dan lap dengan tisu basah”

“Berdasarkan kunjungan saya akhir-akhir ni, dulang, kutleri kotor ada kesan air dan berminyak. Makanan macam biasa, bebola daging, kepak ayam terlalu kering dan ada kakak pelayan terjerit-jerit dekat kaunter bebola daging.”

“Hmmm no wonder. Saya, dua hari lepas makan situ terus ceri-beri (cirit-birit).”

“Peralatan kutleri dia kotor weh, akhirnya aku makan guna tangan dan suami pergi minta sudu plastik dekat kedai Uncle Roger”




