IKEA Kuching dibuka Disember, perkukuh kehadiran di Malaysia Timur

Business & Finance
24 Aug 2026 • 3:23 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: IKEA Kuching dibuka Disember, perkukuh kehadiran di Malaysia Timur

PETALING JAYA: IKEA Malaysia bakal membuka cawangannya di Kuching pada Disember ini, sekali gus menandakan pengembangan jenama kelengkapan rumah itu ke Sarawak serta memperluas akses pengguna di Malaysia Timur.

IKEA Kuching akan menjadi gedung berformat kecil pertama IKEA Malaysia dan gedung pertama syarikat itu di Sarawak.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, pembukaan itu mengambil kira maklum balas pelanggan di Sarawak yang mahukan akses lebih dekat kepada pengalaman IKEA.

“Kami telah mendengar maklum balas pelanggan di Sarawak dan teruja kerana IKEA Kuching bakal membuka pintunya tidak lama lagi.

“Pembukaan IKEA Kuching membawa kami selangkah lebih dekat kepada matlamat untuk menjadikan pengalaman IKEA lebih mudah diakses serta relevan dengan cara hidup masyarakat di sini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut IKEA Malaysia, kehadiran di Sarawak sebelum ini disokong menerusi saluran e-dagang dan perkhidmatan pemenuhan pesanan.

Berbeza dengan empat gedung IKEA berskala besar yang kini beroperasi di Malaysia, IKEA Kuching akan menggabungkan pengalaman IKEA dalam format lebih kompak dan mudah diterokai.

Pelanggan boleh mendapatkan inspirasi kelengkapan rumah, meneroka pelbagai penyelesaian serta membeli produk terpilih untuk dibawa pulang pada hari sama, selain mempunyai akses kepada rangkaian produk IKEA yang lebih luas.

Malcolm berkata, pihaknya mahu apabila pengunjung melangkah masuk ke IKEA Kuching, mereka turut melihat refleksi kehidupan mereka sendiri di rumah.

“Sama ada menyediakan ruang untuk keluarga berkumpul, menyusun barangan harian atau memaksimumkan fungsi sesuatu ruang, kami mahu menawarkan penyelesaian yang praktikal dan relevan,” katanya.

Pembukaan IKEA Kuching turut menjadi sebahagian daripada komitmen IKEA Malaysia untuk memperluas akses kepada kelengkapan rumah yang direka dengan baik dan berfungsi.

Menjelang pembukaan itu, IKEA Malaysia akan bekerjasama dengan komuniti setempat bagi membentuk pasukan rakan sekerja di Kuching, dengan tumpuan menyediakan peluang kepada bakat tempatan untuk berkembang bersama syarikat.

IKEA Kuching dijangka dibuka kepada orang ramai pada Disember 2026, manakala maklumat lanjut mengenai tarikh pembukaan rasmi, kedai dan aktiviti pelanggan akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang. – UTUSAN

The post IKEA Kuching dibuka Disember, perkukuh kehadiran di Malaysia Timur appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved