
HULU TERENGGANU – Seramai 3,229 warga emas dikesan masih terlibat dalam penyalahgunaan dadah biarpun sudah berusia 60 tahun ke atas pada separuh pertama tahun ini.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, penagih dadah tertua dikesan ialah lelaki berusia 63 tahun yang diberkas dalam operasi di Besut dekat sini pada Jun lalu.
Beliau berkata, sewaktu ditahan, warga emas yang berkerusi roda dan memakai lampin pakai buang mengaku gagal mengatasi ketagihan pil kuda sejak terjebak dengan dadah tersebut kira-kira 35 tahun lalu.
“Penagih dalam kalangan mereka berusia 60 tahun ke atas ini merangkumi 2.5 peratus daripada keseluruhan kira-kira 130,000 individu dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negara ini sehingga Jun lalu.
“Begitupun, ia menurun sedikit berbanding 4,311 orang dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya selepas merasmikan pejabat AADK Hulu Terengganu di sini hari ini.
Ruslin berkata, belia berusia 31 hingga 59 tahun kekal golongan tertinggi terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negara ini iaitu 92,590 orang.
Beliau berkata, ia merangkumi 71.1 peratus daripada keseluruhan penagih dadah di negara ini.
“Penggunaan dadah sintetik seperti syabu, pil kuda dan ecstasy agak membimbangkan dengan sudah melebihi 73 peratus,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 3,229 warga emas terlibat dadah appeared first on Kosmo Digital.






