IKEA Kuching terima lebih 6,000 pengunjung pada hari pertama pembukaan

LocalBusiness & Finance
27 Nov 2026 • 4:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IKEA Kuching terima lebih 6,000 pengunjung pada hari pertama pembukaan Image from: IKEA Kuching terima lebih 6,000 pengunjung pada hari pertama pembukaan amree27/11/2026 - 16:40 PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang merasai pengalaman membeli-belah pelbagai produk di IKEA Kuching, Sarawak. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Nov — Lebih 6,000 pengunjung memenuhi IKEA Kuching di Sarawak pada hari pertama pembukaannya, sekali gus menandakan kemasukan pertama jenama perabot dan kelengkapan rumah dari Sweden itu menerusi gedung fizikal di kawasan Malaysia Timur.

 

Terletak di Pines Mall, Batu Kawa, gedung berkenaan mula beroperasi secara rasmi pada Jumaat dan menjadi cawangan pertama IKEA di Sarawak, serta membuka akses yang lebih dekat kepada produk serta pengalaman membeli-belah jenama itu untuk penduduk tempatan.

 

Pembukaan itu dirasmikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, dengan secara tidak langsung mencatat perkembangan baharu dalam perjalanan 30 tahun IKEA Malaysia.

 

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Takeshi Murai berkata, pembukaan IKEA Kuching merupakan langkah penting dalam usaha syarikat global itu mendekatkan produk kelengkapan rumah yang praktikal dan mampu milik kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

 

IKEA_DagangNews2026
Sim Kui Hian (lima dari kiri) bergambar sempena pembukaan rasmi gedung IKEA Kuching di Sarawak pada Jumaat.

 

"Gedung ini bukan sekadar menawarkan perabot, malah menyediakan inspirasi pelbagai reka bentuk, rumusan penyimpanan serta idea untuk membantu pelanggan meningkatkan keselesaan kehidupan seharian di rumah," jelas beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

 

Menggunakan format kompak pertama IKEA Malaysia, gedung berkenaan menyediakan akses kepada kira-kira 5,000 produk kelengkapan rumah pada harga yang sama seperti cawangan di Semenanjung Malaysia, merangkumi pelbagai gaya, keperluan dan bajet.

 

Pelanggan juga boleh meneroka ruang pameran yang diinspirasikan daripada kehidupan seharian di Sarawak, mendapatkan khidmat nasihat hiasan rumah daripada warga kerja IKEA serta memilih produk untuk dibawa pulang, dihantar atau diambil sendiri, tertakluk kepada kelayakan.

 

Selain kelengkapan rumah tambah kenyataan tersebut, IKEA Kuching turut memperkenalkan pilihan makanan popular jenama itu seperti bebola daging Sweden, karipap, roti sosej ayam dan aiskrim 'soft serve' menerusi konsep pembelian pantas.

 

IKEA_DagangNews2026

 

"Pembukaan gedung ini turut menggabungkan budaya Sweden dan Sarawak menerusi persembahan Hej Kamek, selain aktiviti menenun Pua Kumbu, permainan bertemakan IKEA serta cabaran interaktif sepanjang hujung minggu pembukaan," kata kumpulan berkenaan.

 

Pengurus Gedung IKEA Kuching, Pathmalingam Arumugam berkata, pembukaan itu cukup bermakna kepada pasukannya, terutama kerana majoriti warga kerja gedung berkenaan berasal dari Sarawak dan terlibat dalam persiapan operasinya.

 

Kehadiran gedung fizikal itu melengkapi peluasan perkhidmatan beli-belah dalam talian IKEA ke Malaysia Timur, yang membolehkan pelanggan melayari lebih 5,000 produk menerusi IKEA.my dengan pilihan penghantaran dan pengambilan sendiri, tertakluk kepada kelayakan produk serta alamat.

 

Sambutan pembukaan IKEA Kuching diteruskan sehingga Ahad, dengan pelbagai aktiviti untuk pengunjung, selain tawaran diskaun RM5 bagi perjalanan Grab ke gedung berkenaan dari 27 November hingga 26 Disember 2026, tertakluk terma dan tawaran masih tersedia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved