Iklan AI palsu guna wajah kerabat diraja, warga emas jadi sasaran

LocalTechnology
30 Jul 2026 • 4:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Iklan AI palsu guna wajah kerabat diraja, warga emas jadi sasaran

PETALING JAYA – Kegiatan penipuan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin membimbangkan apabila sindiket didakwa menyamar sebagai kerabat diraja bagi memperdaya orang ramai, khususnya golongan warga emas.

Perkara itu didedahkan seorang pengguna Threads, @Piqahalwi, yang mendakwa bapanya hampir terpedaya selepas berulang kali mahu menghubungi akaun media sosial berkenaan kerana percaya individu tersebut ingin memberikan bantuan kewangan.

Menurutnya, bapanya sukar diyakinkan walaupun sudah berkali-kali dimaklumkan bahawa video memaparkan individu menyerupai kerabat diraja itu sebenarnya dihasilkan menggunakan AI.

“Scammer kini menyasarkan golongan pakcik dan makcik yang tidak dapat membezakan antara video AI dengan video sebenar. Saya sudah berkali-kali menjelaskan kepada ayah bahawa ia adalah penipuan, namun dia masih tidak mempercayainya.

“Mereka sewenang-wenangnya menyamar sebagai kerabat diraja untuk memperdaya orang ramai. Saya berharap akaun ini dapat dilaporkan secara beramai-ramai,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati beberapa pengguna turut berkongsi pengalaman berdepan modus operandi sama, termasuk sindiket yang menawarkan bantuan kewangan kononnya bernilai RM50,000 sebelum meminta mangsa membuat bayaran “yuran pengesahan” sebanyak RM200.

Seorang pengguna, @Mfbyxxthex, mendakwa dia sengaja menguji sindiket tersebut sebelum diminta membuat bayaran bagi melayakkan diri menerima bantuan yang dijanjikan.

“Saya sengaja menguji mereka. Memang sah ia satu penipuan apabila saya diminta membayar RM200 sebagai syarat untuk menerima bantuan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Mirgaktau, memaklumkan dia telah membuat laporan terhadap akaun terbabit dan menggesa orang ramai melakukan perkara sama bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

“Bahagian saya sudah selesai, saya telah membuat laporan terhadap akaun itu. Dengan ramai yang melaporkan, harapnya akaun tersebut dapat diturunkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Iklan AI palsu guna wajah kerabat diraja, warga emas jadi sasaran appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved