Warga emas sasaran empuk scam

LocalPersonal Finance
30 Jul 2026 • 8:35 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Warga emas sasaran empuk scam

Kes penipuan atau scam yang menyasarkan warga emas di Malaysia semakin membimbangkan. Hampir setiap minggu, laporan kerugian besar terpampang di dada akhbar, membabitkan mangsa yang kehilangan simpanan ratusan ribu, malah ada yang mencecah jutaan ringgit.

Lebih menyedihkan, wang yang lesap sering kali merupakan simpanan persaraan hasil titik peluh sepanjang hayat bekerja. Angka rasmi mengesahkan betapa seriusnya senario ini.

Sepanjang 2025, penipuan dalam talian menyebabkan kerugian hampir RM3 bilion, antara jenayah komersial paling pesat berkembang di negara ini.

Warga emas pula termasuk kumpulan paling terdedah, yang mana menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), golo­ngan ini mencatatkan kerugian RM986.15 juta membabitkan 3,837 kes pada 2024, dengan bilangan kes dilaporkan meningkat lebih 80 peratus pada 2025.

Selain menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan atau institusi kewangan, scammer kini semakin agresif menyasarkan warga emas menerusi aplikasi komunikasi seperti WhatsApp dan Telegram.

Antara taktik yang sering digunakan ialah tawaran pelaburan dengan pulangan lumayan dalam masa singkat, permintaan ‘pinjaman’ daripada akaun kenalan yang telah dirampas, serta tawaran bantuan kebajikan atau kewangan yang kelihatan meya­kinkan tetapi sebenarnya palsu.

Image from: Warga emas sasaran empuk scam
Ts. Dr. Nurhidayah Bahar dan Dr. Shamsiah Abd Kadir.

Apa yang berlaku

Modus operandi lain melibatkan penyamaran sebagai pegawai polis, wakil Tenaga Nasional Berhad, pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak bank atau insurans.

Mangsa dimaklumkan bahawa mereka kononnya terlibat dalam kes jenayah seperti penggubahan wang haram sehingga menimbulkan panik, lalu diarah memindahkan wang ke ‘akaun siasatan’, menyerahkan maklumat perbankan, malah kad ATM dan nombor PIN.

Tidak kurang juga kes love scam apabila mangsa diperdaya melalui hubungan emosi yang dibina dalam talian sebelum diminta memindahkan wang atas pelbagai alasan. Lazimnya, mangsa­ hanya sedar mereka ditipu selepas simpanan lesap.

Di sebalik angka kerugian, terdapat sisi yang jarang dibincangkan, iaitu cabaran yang dihadapi keluarga mangsa sendiri. Ramai warga emas yang terpedaya sebenarnya baru mula menggunakan telefon pintar dan perbankan dalam talian, menjadikan mereka mudah mempercayai apa yang dilihat atau didengar tanpa menyedari manipulasi.

Berbeza dengan kanak-kanak yang penggunaan teknologinya boleh dipantau, warga emas hidup lebih berdikari dalam sesetengah kes, mereka lebih mempercayai individu dalam talian berbanding nasihat anak sendiri.

Lebih membimbangkan, teknologi kini membolehkan scammer menggunakan gambar profil palsu, akaun yang menyerupai kenalan, malah suara yang meyakinkan.

Kesan penipuan ini bukan sekadar kewangan. Anak-anak sering berasa bersalah kerana gagal menyedari lebih awal, manakala sesetengah keluarga terpaksa mengambil alih pengurusan kewangan ibu bapa.

Lebih menyedihkan apabila wang yang hilang merupakan simpanan untuk perbelanjaan hari tua atau tujuan ibadah. Mangsa turut mengalami tekanan emosi, rasa malu, malah trauma. Justeru, isu scam warga emas bukan sekadar jenayah kewangan, tetapi juga cabaran sosial yang menjejaskan kesejahteraan institusi kekeluargaan.

Usaha pencegahan bermula daripada kesedaran keluarga. Ahli keluarga wajar kerap berbincang dengan ibu bapa tentang taktik scam terkini supaya mereka tidak mudah panik apabila menerima panggilan yang mendesak atau mengugut.

Nombor telefon atau akaun yang mencurigakan boleh dise­mak melalui portal Semak Mule oleh PDRM, manakala taktik terbaharu boleh diikuti menerusi laman JanganKenaScam.com.

Jika transaksi mencurigakan sudah berlaku, hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (Natio­nal Scam Response Centre, NSRC) di talian 997 dengan segera bagi menyekat aliran wang.

Talian ini beroperasi 8 pagi hingga 8 malam setiap hari dan tindakan dalam tempoh 24 jam amat kritikal. Perlu diingat, NSRC hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan tidak sesekali membuat panggilan keluar, maka sebarang panggilan yang mendakwa daripada ‘pegawai NSRC’ patut terus ditolak.

Image from: Warga emas sasaran empuk scam
WARGA emas menjadi kumpulan masyarakat paling terdedah kepada ancaman sindiket penipuan sehingga ada yang kerugian jutaan ringgit.

Tanggungjawab bersama

Peranan pegawai bank dan orang awam turut penting. ­Banyak kes berjaya dihentikan apabila pegawai bank menyoal pelanggan warga emas yang ingin membuat transaksi besar, terutamanya jika ditemani individu yang mencurigakan.

Sekiranya warga emas dilihat membuat transaksi di mesin ATM sambil menerima arahan melalui telefon, satu pertanyaan sopan daripada orang sekeliling kadangkala cukup untuk memberi mereka peluang berfikir semula sebelum wang dipindahkan.

Dalam masyarakat yang semakin bergantung kepada teknologi, literasi digital dalam kalangan warga emas perlu diperkukuh. Bukan sekadar kemahiran menggunakan peranti, tetapi keupayaan berfikir secara kritikal terhadap maklumat dalam talian.

Ahli keluarga boleh membantu dengan mengajar asas ke­selamatan digital, seperti tidak berkongsi maklumat perbankan atau menyerahkan kad ATM dan nombor PIN. Warga emas juga perlu sedar mesej, gambar malah suara kini boleh dimanipulasi.

Namun, perlindungan ini bukan tanggungjawab keluarga semata-mata. Penyedia rangkaian telekomunikasi dan pengeluar peranti perlu lebih proaktif.

Antaranya melalui ciri ke­selamatan lalai (default security settings), penapisan panggilan mencurigakan dan kempen kesedaran berterusan.

Manakala, kerajaan pula perlu memperkukuh dasar dan perundangan keselamatan siber serta menghukum mereka secara tegas yang menyalahguna teknologi untuk menipu.

Akhirnya, melindungi warga emas daripada scam ialah tanggungjawab bersama. Kadangkala, satu peringatan, satu pertanyaan atau satu tindakan pantas mampu menyelamatkan seseorang daripada kerugian dan penyesalan di usia senja.

Ts. Dr. Nurhidayah Bahar dan Dr. Shamsiah Abd Kadir merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Teknologi dan Pengurusan Perisian, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, dan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

The post Warga emas sasaran empuk scam appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved