Ikut Jejak Muhyiddin, Azmin, Peja Letak Jawatan

LocalPolitics
30 Dec 2025 • 3:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Selepas peletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak mengambil keputusan sama.

Menerusi satu kenyataan ringkas, beliau berkata, pelantikannya sebagai Setiausaha Agung PN adalah atas bidang kuasa Muhyiddin selaku Pengerusi.

Justeru katanya, adalah wajar beliau meletakkan jawatan berkuatkuasa 1 Januari nanti.

“Saya mengambil perhatian bahawa pelantikan saya sebagai Setiausaha Agung PN adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

“Maka, saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN bermula 1 Januari 2026,” katanya.

Jelas Azmin, beliau juga membuat keputusan meletakkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Selangor berkuatkuasa tarikh yang sama.

“Kerjasama semua pihak amatlah dihargai dan diucapkan terima kasih,” katanya. 

image is not available
Ahmad Faizal Azumu - Gambar fail

Keputusan sama diambil Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut mengumumkan peletakan jawatan berkuatkuasa pada tarikh yang sama. 

“Mengambil maklum keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN serta menghormati bahawa kuasa pelantikan adalah prerogatif Pengerusi, dengan ini saya memaklumkan perletakan jawatan saya sebagai Pengerusi PN Negeri Perak, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta ahli-ahli parti komponen Perikatan Nasional Negeri Perak atas kerjasama, sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan sepanjang saya menggalas amanah ini,” katanya. - Getaran, 30 Disember 2025