MERAK Jalanan semakin pening kepala melihat sikap warga asing yang langsung tidak menghormati peraturan, walaupun sudah berkali-kali tindakan penguatkuasaan dikenakan ke atas mereka.
Terbaharu, sebuah klip video yang tular di media sosial memaparkan operasi penguat kuasa salah satu pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor terhadap aktiviti perniagaan di kawasan kaki lima dan pinggir bangunan.
Rakaman itu mencetuskan perbualan ramai apabila peniaga warga asing masih berdegil meneruskan perniagaan walaupun larangan sudah lama dikuatkuasakan.
Lebih membimbangkan, dalam pemeriksaan tersebut mendapati ruang penyimpanan sampah dijadikan tempat menyimpan ayam hidup sebelum disembelih dan dijual kepada pelanggan. Situasi itu bukan sahaja menimbulkan persoalan dari sudut kebersihan, malah jelas melanggar aspek keselamatan makanan.
Apa yang lebih memeningkan kepala, lelaki warga asing berusia 56 tahun yang pernah dikenakan tindakan sebelum ini masih mengulangi kesalahan sama, seolah-olah hukuman yang dikenakan langsung tidak memberi kesan.
Tidak kurang juga seorang wanita berusia 26 tahun yang memberi alasan tidak mengetahui larangan berniaga di kaki lima walaupun sudah lama menetap di negara ini.
Alasan seperti itu hanya menambah persoalan tentang tahap kesedaran sivik dan rasa hormat terhadap peraturan tempatan.
Merak Jalanan berpandangan, mencari rezeki tidak pernah salah, namun apabila undang-undang dipandang ringan, akhirnya yang rosak ialah kesejahteraan ruang awam dan imej masyarakat.
Jika sikap 'ikut kepala sendiri' ini terus dibiarkan, tidak mustahil ia akan menjadi kebiasaan yang sukar dibendung pada masa hadapan.

