MERAK Jalanan baca berita tentang Jho Low mahu memohon pengampunan daripada Donald Trump. Terus rasa darah naik sampai kepala. Ewah-ewah, sedap betul hidup ya?
Duit berbilion lesap dalam skandal 1MDB, nama Malaysia dimalukan di mata dunia, rakyat bertahun-tahun telan cerita kapal mewah, lukisan mahal, parti penuh glamor dan gaya hidup kayangan. Sekarang tiba-tiba mahu bersihkan diri dengan satu tandatangan pengampunan? Mudah sungguh bunyinya.
Merak Jalanan bukan pakar undang-undang antarabangsa, tapi rakyat biasa pun faham rasa sakit bila dengar berita macam ini.
Duit yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan negara, bantu rakyat, tambah peluang pekerjaan hilang entah ke mana.
Yang lebih buat orang naik angin, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini sudah meringkuk dalam penjara kerana kes berkaitan 1MDB. Dalang yang sering dikaitkan dengan skandal terbesar negara pula masih ghaib, jadi beruang. Sekarang nak mohon pengampunan pula?
Merak Jalanan tertanya-tanya, pengampunan untuk apa kalau keadilan pun belum benar-benar selesai?
Rakyat Malaysia masih menunggu jawapan. Mana duit itu? Mana individu perlu bertanggungjawab? Sampai bila kisah ini mahu jadi episod bersiri tanpa penamat?
Janganlah nanti orang yang lari bertahun-tahun boleh hidup tenang, sedangkan rakyat yang menanggung malu dan kesannya terus diminta bersabar.
Kalau benar mahu bersihkan nama, pulanglah dulu. Hadap mahkamah. Jawab segala persoalan.
Jangan dari jauh minta pengampunan, tetapi bayang pun tak nampak.




