
SHAH ALAM, 10 JULAI: Golongan muda yang membentuk 48 peratus daripada keseluruhan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor didapati semakin mengutamakan calon berbanding parti politik.
Menurut ringkasan eksekutif pola pengundian PRN Johor ke-16 oleh Ilham Centre, pengundi kali pertama menunjukkan corak tersebut meskipun sebahagian besar tiada kesedaran politik mendalam.
Kajian tersebut turut mendapati mereka melihat proses mengundi sebagai tanggungjawab sivik, namun belum membentuk kesetiaan yang kukuh kepada mana-mana parti politik.
"Satu lagi ciri penting ialah mereka merupakan kumpulan ‘late decider’. Keputusan politik lazimnya hanya dimuktamadkan pada penghujung tempoh kempen selepas mereka menilai calon, mengikuti perkembangan media sosial dan berbincang dengan rakan sebaya.
"Corak ini menyebabkan perubahan sokongan dalam kalangan pengundi muda berlaku dengan pantas dan sukar diramalkan sehingga hari pengundian," menurut ringkasan itu.
Ilham Centre turut mendapati pengaruh pilihan tradisi keluarga semakin minimum dalam kalangan pengundi muda, manakala identiti parti bukan lagi faktor dominan dalam menentukan pilihan mereka.
Sebaliknya, mereka lebih menilai keupayaan calon berkomunikasi, rekod perkhidmatan, keterlihatan di kawasan dan media sosial serta kesungguhan menyelesaikan isu setempat.
"Akibatnya, keputusan saat akhir dalam kalangan pengundi muda sering menghasilkan pecahan sokongan yang lebih sekata dan sukar dijangka, tanpa memberikan kelebihan mutlak kepada mana-mana blok politik," menurut Ilham Centre.
Menurut kajian itu lagi, penyandang yang mempunyai rekod kerja, mudah ditemui rakyat dan aktif memperoleh tahap kepercayaan lebih tinggi, termasuk dalam kalangan pengundi muda.
Ringkasan itu turut menyatakan rekod prestasi menjadi modal politik jauh lebih bernilai berbanding jenama parti, manakala calon baharu berdepan cabaran lebih besar untuk memperkenal keupayaan diri.
"Tempoh kempen yang singkat menyebabkan ramai calon baharu masih bergelut membina pengenalan, kredibiliti dan keyakinan pengundi.
"Dalam pertandingan yang semakin berpaksikan calon, kekuatan individu semakin menjadi penentu utama, khususnya di kerusi marginal yang mempunyai komposisi pengundi muda yang tinggi," menurut kajian itu.
Berlangsung pada 11 Julai, PRN Johor menyaksikan saingan 172 calon daripada pelbagai gabungan parti politik dengan jangkaan peratusan keluar mengundi mencecah 70 peratus.





