ILLEGEAR MACH 16 FURY Kini Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM4750

TechnologyDigital
2 Jul 2025 • 5:06 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

ILLEGEAR secara rasmi melancarkan komputer riba gaming terbaharu mereka MACH 16 FURY ke pasaran Malaysia. Komputer riba ini direka khas untuk pengguna yang mahukan prestasi tinggi dalam permainan video dan juga tugasan kreatif seperti penyuntingan video serta grafik.

image is not available

MACH 16 FURY dikuasai oleh CPU Intel Core i7-14650HX yang digandingkan bersama pilihan GPU NVIDIA GeForce RTX 5050, RTX 5060 atau RTX 5070. Gabungan ini membolehkan pengguna menikmati permainan AAA pada kadar bingkai stabil dengan visual yang mengasyikkan. Ia turut menjadikannya pilihan sesuai untuk pencipta kandungan yang memerlukan kuasa pemprosesan berprestasi tinggi.

image is not available

Dari segi paparan, MACH 16 FURY dilengkapi dengan skrin bersaiz 16-inci WQXGA (2.5K) yang menyokong kadar segar semula 180Hz. Komputer riba ini juga dilengkapi sistem penyejukan baharu menggunakan bahan khas bagi memastikan suhu kekal stabil walaupun ketika penggunaan ekstrem.

image is not available

ILLEGEAR turut menyertakan teknologi Nahimic bersama dwi-pembesar suara 2W bagi pengalaman bunyi lebih imersif. Baterinya bersaiz 80Wh turut memberikan ketahanan yang baik untuk penggunaan seharian. Ia turut menyokong pelbagai port seperti USB-C 3.2 Gen 2, HDMI 2.1, Mini DisplayPort 2.1 dan USB-A.

Dengan harga permulaan RM4750, ILLEGEAR turut menawarkan pelbagai ganjaran menarik untuk pra-tempahan. Antara tawaran tersebut termasuk naik taraf percuma ke 16GB RAM DDR5, tetikus gaming nirwayar STIX, beg galas HIVE dan lain-lain. Pelanggan juga boleh menikmati diskaun eksklusif untuk monitor APEX 27 serta aksesori lain keluaran ILLEGEAR.