Colorful Smart 900 AI Ialah Komputer Padat Yang Dikuasakan Cip AMD Ryzen Strix Halo

TechnologyDigital
30 Jun 2025 • 4:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jika anda seorang pembina PC, ataupun minat dalam bidang komponen komputer, anda pasti mengenali jenama Colorful sebagai salah satu rakan pembina komponen-komponen papan induk dan kad grafik. Tetapi tahukah anda bahawa mereka juga membuat produk-produk seperti komputer desktop dan komputer riba?

Penawaran terbaru mereka didalam segmen komputer dinamakan Colorful Smart 900, iaitu sebuah komputer bersaiz padat yang dikuasakan oleh salah satu cip pemprosesan APU paling berkuasa oleh AMD, iaitu AMD Ryzen AI Max+ 395.

image is not available

Rangka komputer ini diperbuat daripada logam aluminum dan hadir dengan saiz sekitar 4 liter. ia cukup padat untuk sebuah komputer desktop kecil, tetapi mungkin lebih besar daripada komputer-komputer seperti Intel NUC. Walaupun begitu, ia perlu diingatkan juga bahawa komputer desktop ini memerlukan sistem penyejukan yang bagus untuk memastikan komponen APU tersebut beroperasi pada tahap optimum.

Untuk butiran mengenai APU terbaru AMD ini, ia dilengkapi dengan 16 teras fizikal dengan 32 bebenang kuasa dan boleh dilewahjam sehingga 5.1GHz, dan dirumahkan bersama-sama cip pemprosesan grafik AMD Radeon 8060S yang menggunakan binaan cip grafik RDNA 3.5.

Dari segi memori dan storan pula, ia dilaporkan bahawa PC ini menyokong memori LPDDR5 sehingga 128GB dan mempunyai ruang storan untuk dua storan M.2 yang menyokong teknologi penghantaran data PCIe 4.0. Satu lagi ciri unik pada komputer ini ialah ia hadir dengan pembaca kad yang menyokong kad SD 4.0 ataupun UHS-II dengan kadar pembacaan data 312MB/s dan penulisan data 156MB/s.

image is not available

Palam-palam lain termasuklah dua palam USB 3.2 dan satu palam USB4 di bahagian hadapan, manakala bahagian belakang merumahkan palam-palam USB 3.2 Type-C dan USB4 tambahan, bersama-sama palam output video HDMI 2.1 dan DisplayPort 1.4. Dari segi sokongan sambungan nirwayar pula, komputer ini menyokong sambungan Bluetooth 5.2 dan WiFi 7.

Buat masa ini, walaupun Colorful telah memperlihatkan butiran-butiran berkenaan komputer desktop terbaru mereka, tarikh dan harga jualan masih belum diperlihatkan lagi. Colorful dilaporkan akan menjual komputer ini secara global apabila ia dilancarkan kelak, jadi mungkin kita akan ketahui butiran tersebut tidak lama lagi.

[/sumber[