Ilmu, nilai dan akhlak teras kekuatan umat: Hajiji

LocalPolitics
10 Sep 2025 • 2:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kekuatan sebenar umat Islam bukan terletak pada bilangan atau kekayaan tetapi pada ilmu, nilai dan akhlak, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Budaya ilmu adalah warisan yang memperkukuh kesedaran, memupuk keintelektualan dan memperteguh jati diri umat Islam,” katanya ketika merasmikan seminar memperingati arwah Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil di Dewan Saadah, Isnin.

Dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Sabah, Datuk Ariffin Arif, Hajiji menekankan kepentingan menghidupkan semangat tadabbur al-Quran dan kecintaan terhadap ilmu sebagai panduan menghadapi cabaran semasa.

Beliau menyeru umat Islam, khususnya generasi muda, mencontohi Dr Siddiq yang menjadi antara tokoh penting dalam mencorakkan arah pendidikan Islam progresif di Malaysia.

“Pendekatan Islam yang diketengahkan Dr Siddiq, dikenali sebagai Manhaj Malizi, digambarkan sebagai model pemikiran Islam progresif, sederhana dan inklusif yang sesuai dengan kepelbagaian masyarakat majmuk di Malaysia, khususnya Sabah,” katanya, menegaskan ajaran Dr Siddiq menolak ekstremisme dan perpecahan.

Hajiji turut memberi penghargaan kepada penganjur seminar berkenaan yang menjadi wadah intelektual menghargai sumbangan besar Dr Siddiq sebagai pendakwah, pendidik dan pemikir tersohor di Malaysia serta antarabangsa.

Katanya lagi, Allahyarham bukan sahaja penulis dan pemidato hebat, malah pernah menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah).

“Islam mesti disampaikan dengan penuh hikmah dan kedamaian kerana itulah kunci membina masyarakat Sabah yang harmoni, bersatu padu dan berilmu,” ujarnya.

Seminar anjuran bersama Wadah Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah serta Abim Sabah itu menampilkan pembentang termasuk Yang Dipertua Usia Datuk Sapawi Ahmad, Pengerusi Concern Haji Sainuri Yahmin, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Dr Amin Senin dan Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah Muhd Nur Hilmie Milus.