
YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) serta rakan teknologi Z.ai telah melancarkan ILMUcode, iaitu sebuah platform baharu yang menggabungkan keupayaan agen AI dalam pembangunan perisian dengan sokongan model bahasa generatif terkini, ILMU GLM 5.3.
ILMU code dibangunkan sebagai penyelesaian pengaturcaraan berasaskan AI yang bertujuan mempercepatkan pembangunan perisian, meningkatkan produktiviti serta menyokong agenda pendidikan teknologi negara. Dengan sokongan rasmi UM sebagai rakan akademik, platform ini diyakini mampu berfungsi sebagai pemangkin utama inovasi tempatan dan seterusnya melahirkan generasi muda berkemahiran teknologi yang berdaya saing di peringkat global.

Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu tetapi menandakan langkah strategik Malaysia dalam usaha membina kedudukan sebagai pusat teknologi serantau. Ia turut memperlihatkan komitmen negara untuk melahirkan pembangun perisian generasi baharu, di samping memastikan komuniti teknologi digital kekal releven menghadapi cabaran global.

Disokong oleh model bahasa generatif ILMU GLM 5.3, ILMUcode mengukuhkan kerjasama antara manusia dan AI dalam pembangunan perisian. Enjin ini direka untuk memahami serta menghasilkan kod dengan lebih mendalam, di samping menyokong projek berskala besar.
Semakan melalui laman web rasmi mendapati ILMUcode menawarkan pengalaman menyeluruh dalam pembangunan perisian berasaskan AI dengan fungsi yang dirumus untuk meningkatkan kemammpuan pelajar, pembangun dan komuniti. Pengguna boleh memulakan projek dengan mudah melalui pendaftaran akaun di ILMU Console, menebus kredit percuma, memuat turun aplikasi dan seterusnya menjalankan tugasan baharu.

Platform ini membolehkan pelbagai projek praktikal dilaksanakan, termasuk membina permainan ringkas, menukar pangkalan data antara sistem, menambah ciri keselamatan pada API, membangunkan alat balas mesej automatik, menyediakan proses kerja CI/CD, serta melakukan imbasan keselamatan bagi memastikan projek bebas daripada kerentanan.

Selain itu, ILMUcode turut menyokong usaha memahami semula kod lama tanpa dokumentasi, menyusun semula pertanyaan pangkalan data agar lebih pantas, membangunkan laman web, serta menyediakan infrastruktur moden untuk mengurus aplikasi berskala besar dengan lebih efisien.

UM akan menjadi institusi pertama di Malaysia yang memperkenalkan ILMUcode kepada para pelajarnya. Seramai 800 pelajar tahun pertama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat akan menerima kredit bulanan untuk menggunakan platform ini dalam pembangunan projek akademik. Inisiatif ini akan dijalankan sebagai ujian rintis selama 3 bulan bagi menilai keberkesanan penggunaan sebelum keputusan lanjut dibuat mengenai pelaksanaan seterusnya.
Butiran lanjut : ILMUcode — Malaysia’s Next-Generation Frontier AI Coding Platform



![[VIDEO] Universiti Malaya dilanda banjir kilat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-26-at-6.11.24-PM-1024x576.jpeg)