Aib Naib Canselor: Bekas Presiden Umany kekal sabitan, denda RM10,000

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 4:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Aib Naib Canselor: Bekas Presiden Umany kekal sabitan, denda RM10,000

PUTRAJAYA – Bekas Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke kekal sabitan dan hukuman denda RM10,000 kerana mengaibkan bekas Naib Canselor universiti itu tujuh tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Noorin Badaruddin selepas menolak rayuan Yan Ke selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman termasuk persoalan undang-undang dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dalam rayuan akhirnya.

Dalam penghakiman panel mendapati pertuduhan terhadap perayu adalah sah selain pihak pendakwaan telah membuktikan semua elemen kesalahan melangkaui keraguan yang munasabah, dan tiada kegagalan keadilan berlaku.

Pada masa sama penghakiman turut menyatakan tiada kesilapan arah yang ketara oleh Majistret dan tiada asas bagi mahkamah rayuan untuk campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi.

“Kami sebulat suara berpuas hati bahawa rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman adalah tidak berasas Rayuan ditolak,” kata Hakim Noorin.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz and Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Sebelum ini Mahkamah Rayuan membenarkan Yan Ke untuk memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman denda RM10,000 yang dikenakan terhadapnya.

Ini kerana mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, rayuan daripada Mahkamah Majistret ke Mahkamah Rayuan memerlukan kebenaran terlebih dahulu dan rayuan hanya boleh dibuat berkaitan persoalan undang-undang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semasa mendengar rayuan atau semakan daripada Mahkamah Majistret.

Pada Oktober 2023, Mahkamah Majistret mendapati Yan Ke, 29, bersalah bagi kesalahan dengan sengaja telah mengaibkan serta membangkitkan kemarahan Naib Canselor UM, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim dan tetamu (ketika kejadian) pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-59 di Dewan Tunku Canselor UM di sini pukul 10 pagi pada 14 Oktober 2019.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Yan Ke yang merupakan lepasan UM dalam bidang kejuruteraan awam itu disabitkan dan didenda RM5,000.

Kemudian pada 15 April tahun sama Mahkamah Tinggi menaikkan denda RM5,000 kepada RM10,000 terhadap Yan Ke selepas membenarkan permohonan silang pendakwaan berhubung jumlah denda, sekali gus mengetepikan rayuannya bagi sabitan serta hukuman. – KOSMO! ONLINE

The post Aib Naib Canselor: Bekas Presiden Umany kekal sabitan, denda RM10,000 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved