‘Iman tak dapat diwarisi, daripada seorang ayah bertakwa’

LocalFamily & Parenting
14 Oct 2026 • 2:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Iman tak dapat diwarisi, daripada seorang ayah bertakwa’

 

KUALA LUMPUR – Vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz menegaskan pendidikan agama amat penting dalam membentuk pegangan akidah golongan remaja agar tidak mudah terpesong daripada landasan Islam.

Mengulas isu seorang lelaki berbangsa Melayu yang didakwa melakukan ritual agama lain baru-baru ini, Azadan berkata, perkara tersebut seharusnya dijadikan iktibar, selain mengingatkan masyarakat supaya tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada ibu bapa.

“Mengenai isu yang berlaku, diharapkan perkara tersebut menjadi pengajaran. Bila orang sekeliling menegur, maknanya mereka ambil berat dan Allah SWT sayang.

“Iman tidak dapat diwarisi daripada seorang ayah yang bertakwa, jadi jangan salahkan ibu bapa jika seseorang anak berbuat begitu.

“Di Malaysia ini, kemudahan pendidikan agama sangat lengkap dari tadika, sekolah agama, hingga kuliah fardu ain di masjid dan surau. Semuanya terpulang pada diri kita sendiri untuk menjaganya (akidah),” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

Ditemui pada majlis pelancaran dewan acara Rabbani Event Space, Azadan berkata Islam merupakan agama yang mudah dan menenangkan, namun perubahan diri seseorang bergantung pada amalan serta usaha individu itu sendiri.

“Kalau ada perubahan kepada kehidupan, perkara tersebut adalah disebabkan keputusan sendiri, bukannya orang lain.

“Panggillah pakar motivasi atau ustaz hebat macam mana pun, yang merubah diri kita adalah diri kita sendiri,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Azadan turut menegaskan kepentingan solat dalam kehidupan setiap Muslim kerana ibadah tersebut merupakan penghubung antara manusia dengan Allah SWT.

“Jangan jadikan agama sebagai alasan untuk jadi tidak baik. Solat itu sangat penting, solat itu tiang agama.

“Hidup ini ibarat telefon canggih dan mahal, kalau tiada ‘top-up’, kita tidak boleh berhubung.

“Solat itu umpama ‘top-up’ yang menghubungkan kita dengan Allah. Jika kita tidak solat, doa kita sukar diterima,” jelasnya.

Semalam, seorang lelaki yang terpalit kontroversi susulan dakwaan melakukan amalan atau ritual agama bukan Islam ditahan pihak berkuasa.

Susulan perkara tersebut, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulakan siasatan mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan kesalahan melakukan perbuatan menunjukkan pemujaan dengan cara menyalahi hukum syarak serta perbuatan menyebabkan agama Islam dipandang hina. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Iman tak dapat diwarisi, daripada seorang ayah bertakwa’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved