Imigresen: Dua warga Pakistan didenda RM12,000

26 Mar 2025 • 3:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Cynthia D Baga

Kota Kinabalu: Dua warga Pakistan didenda RM12,000 atau penjara 12 bulan setiap seorang kerana tinggal lebih masa di negeri ini.

Abdullah dan Shah Khalid masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka pada Selasa.

Abdullah ditahan pada jam 4 petang, 11 Februari tahun ini di sebuah kedai di Kota Belud. Pas Khas miliknya telah tamat tempoh pada 23 Mac 2023, menyebabkan dia tinggal lebih masa di negeri ini selama setahun 10 bulan.

Sementara itu, Shah ditangkap pada hari sama jam 3.52 petang di sebuah pasar mini di Kudat selepas Pas Lawatan Sosialnya tamat tempoh pada 25 Januari 2023, dan dia telah tinggal lebih masa di negeri ini selama dua tahun dua minggu.

Kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 itu memperuntukkan denda sekurang-kurangnya RM10,000 atau hukuman penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Abdullah membayar denda, manakala Shah gagal membayarnya.

Selepas menjalani hukuman atau membayar denda, kedua-dua warga Pakistan itu diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut.

Pegawai pendakwa Gressia Yoland Ismail Uvaraj dari Jabatan Imigresen tampil pendakwaan.