Imigresen nafi lantik pihak ketiga, ‘Datuk’ urus PLKS

LocalPolitics
10 Aug 2025 • 10:55 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan tular mengatakan wujud individu bergelar Datuk yang boleh menguruskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau ePass bagi membebaskan tahanan di depot imigresen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban, berkata dakwaan itu dikesan di media sosial sejak 7 Ogos lalu menerusi perkongsian video tular pertemuan sepasang suami isteri dengan pemilik akaun media sosial terbabit.

“Pasangan itu mendakwa membayar RM5,000 kepada individu bergelar Datuk untuk memohon PLKS bagi membebaskan adik mereka yang ditahan di depot.

“Walaupun bayaran dibuat dan imbasan kod QR pada permit kerja wujud dalam sistem, adik mereka masih belum dibebaskan malah janji kononnya boleh dilepaskan di mahkamah juga tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut lapor FMT memetik Sinar Harian.

Menerusi semakan dengan pemilik akaun berkenaan mendapati ePass yang ditunjukkan disyaki palsu kerana kod QR telah diubah suai manakala semakan silang melalui sistem MyIMMs menggunakan nombor pasport menunjukkan tiada rekod PLKS.

Menurutnya, semua urusan imigresen hanya boleh dilakukan melalui saluran rasmi di kaunter jabatan atau secara dalam talian di portal rasmi.

“Tiada pegawai atau pihak ketiga dibenarkan menguruskan permohonan di luar prosedur,” katanya.

Zakaria turut meminta pihak yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa penipuan segera membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca penyalahgunaan maklumat dan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap pihak terlibat,” katanya. - 10 Ogos, 2025