
IPOH: Seramai 109 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam operasi penguatkuasaan di enam buah premis termasuk pasar borong, di sini hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 34 wanita ditahan menerusi Op Gegar di sebuah pusat hiburan dan empat pusat urut manakala pemeriksaan di sebuah pasar borong membawa kepada penahanan 75 lelaki.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, kesemua tangkapan melibatkan warga asing berusia antara 19 hingga 59 tahun dan terdiri daripada rakyat Thailand, Vietnam, Myanmar, Indonesia serta Bangladesh.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan permit atau pas yang dikeluarkan kepada mereka.
“Kesemua tahanan dibawa ke pejabat Imigresen negeri untuk proses dokumentasi dan semakan lanjut sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen,” katanya ketika ditemui selepas serbuan di Pasar Borong Ipoh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, serbuan Op Gegar dijalankan di sekitar bandar raya Ipoh sekitar pukul 9.00 malam manakala serbuan di Pasar Borong Ipoh dilakukan bermula pukul 1.30 pagi tadi.
Katanya, sebahagian warga asing yang diserbu cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak penguat kuasa.
“Bagaimanapun, dengan kecekapan pegawai dan anggota, kami berjaya menahan kesemua mereka daripada meloloskan diri,” katanya.
Tambah beliau, susulan operasi itu, sebanyak lima saman dikeluarkan kepada majikan dan pemilik premis untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963.
Sementara itu, mengulas mengenai rekod penguatkuasaan di seluruh negara, beliau berkata, lebih 11,000 operasi telah dilaksanakan sejak 1 Januari lalu sehingga kini membabitkan pemeriksaan ke atas hampir 150,000 warga asing. – UTUSAN
The post Imigresen Perak tahan 109 warga asing appeared first on Utusan Malaysia.





