
PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia menyenarai hitam semua pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan secara tidak sah menerusi sindiket dipercayai mengeksploitasi Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata tindakan itu diambil susulan beberapa serbuan dan operasi bagi mengenal pasti serta mengesan pemegang PLKS yang diperoleh secara haram.
Beliau berkata siasatan mendapati terdapat percanggahan antara alamat premis dan maklumat majikan yang digunakan sesetengah pemegang PLKS dengan butiran direkodkan dalam pas berkenaan, termasuk penggunaan alamat palsu.
“Kita telah menyenarai hitam mereka dalam sistem Imigresen, yang mana mereka tidak lagi boleh melakukan sebarang transaksi, sama ada untuk pembaharuan atau menukar alamat dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Zakaria berkata pemegang PLKS terbabit juga tidak dibenarkan melakukan transaksi secara dalam talian dan perlu berurusan secara terus di kaunter Jabatan Imigresen bagi sebarang urusan berkaitan.
Setakat ini, seramai 14 pegawai Imigresen ditahan bagi membantu siasatan terhadap sindiket berkenaan, termasuk enam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lima tangkapan berikutnya dan tiga pegawai yang ditahan dalam perkembangan terbaharu.
Beliau berkata Jabatan Imigresen akan meneruskan siasatan serta operasi bagi mengenal pasti dan mengesan pemegang PLKS yang diluluskan secara tidak sah.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen melancarkan Op Crack pada 28 Julai lalu yang membawa kepada penahanan lebih 10 individu termasuk pengarah syarikat, warga asing, pegawai polis dan pegawai Imigresen.
Sebanyak 1,306 PLKS didapati diluluskan secara tidak sah di pelbagai lokasi di seluruh negara membabitkan beberapa sektor ekonomi.
Zakaria sebelum ini berkata terdapat “orang dalam” Jabatan Imigresen yang dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan dan mengetahui cara mengeksploitasi MyIMMs bagi memudahkan kelulusan PLKS secara haram.
Individu terbabit dipercayai menggunakan dongle dan perisian yang dipasang pada komputer sebelum mengakses sistem dari jarak jauh menggunakan ID serta kata laluan pentadbir.
Mereka kemudian didakwa mencipta ID palsu bagi meluluskan permohonan PLKS di luar prosedur ditetapkan.
Dua warga Bangladesh ditahan kerana sindiket pasport palsu
Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Imigresen turut menahan dua warga Bangladesh yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket pemalsuan pasport dalam serbuan di ibu negara semalam.
Zakaria berkata kedua-dua suspek berusia 29 dan 32 tahun itu ditahan dalam operasi pada 12 Ogos selepas risikan selama seminggu.
Katanya, operasi bermula jam 11.30 pagi dan dijalankan pegawai serta anggota Bahagian Risikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen di dua lokasi.
“Hasil operasi ini, kita menahan dua warga Bangladesh berkenaan. Bersama mereka, kita turut menemukan sembilan pasport Bangladesh palsu.
“Turut ditemukan peralatan lain termasuk tiga telefon bimbit, dua komputer dan cop keselamatan yang digunakan untuk keluar masuk,” katanya.
Pihak berkuasa turut merampas 2,110 buku kecil pasport yang belum dijilid dan dipercayai menjadi bahan mentah untuk menghasilkan pasport palsu.
Zakaria berkata hasil soal siasat turut membawa kepada penemuan wang tunai berjumlah RM200,000 dalam akaun e-dompet sindiket yang dipercayai hasil kegiatan haram.
Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah menghasilkan pasport palsu bagi memudahkan pemeriksaan kesihatan di klinik panel FOMEMA, khususnya membabitkan pekerja asing yang berdepan masalah kesihatan.
Kaedah itu membolehkan individu yang sihat menyamar sebagai pemegang pasport asal untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menggunakan identiti berkenaan.
Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 bagi setiap transaksi pemalsuan pasport dan pemeriksaan kesihatan.
Sindiket itu dipercayai telah beroperasi kira-kira setahun, manakala jumlah bahan pasport yang disimpan menunjukkan wujud permintaan tinggi terhadap perkhidmatan berkenaan.
Zakaria berkata sindiket menggunakan ejen bebas untuk mencari pelanggan melalui pertemuan bersemuka atau hubungan peribadi dan tidak mengiklankan perkhidmatan secara terbuka.
Kedua-dua suspek merupakan pemegang PLKS dalam sektor pembinaan dan rekod menunjukkan mereka telah menetap di Malaysia selama sembilan tahun.
Jabatan Imigresen akan meneruskan operasi risikan bagi mengenal pasti rangkaian lain yang masih terbabit dalam kegiatan sama, termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain dalam membekalkan bahan untuk pemalsuan pasport. - Getaran, 13 Ogos 2026





