JIM senarai hitam pemegang PLKS diluluskan secara tidak sah

LocalPolitics
13 Aug 2026 • 6:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JIM senarai hitam pemegang PLKS diluluskan secara tidak sah

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyenarai hitam semua pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan secara tidak sah melalui sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu dibuat susulan operasi dan serbuan pihaknya bagi mengesan pemegang PLKS tidak sah terlibat.

Beliau berkata, hasil beberapa serbuan mendapati alamat premis serta maklumat majikan yang digunakan berbeza daripada maklumat dalam PLKS selain menggunakan alamat palsu.

“Kita telah senarai hitam dalam sistem Imigresen, di mana mereka tidak lagi boleh melakukan sebarang transaksi, sama ada untuk pembaharuan ataupun nak tukar alamat dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, pemegang PLKS terbabit tidak lagi boleh melakukan sebarang transaksi secara dalam talian dan perlu merujuk kepada kaunter JIM bagi urusan berkaitan.

Zakaria berkata, setakat ini seramai 14 pegawai Imigresen ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket terbabit, termasuk enam tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala lima lagi dalam tangkapan berikutnya serta tiga pegawai yang ditahan dalam perkembangan terbaharu.

Menurutnya, JIM akan meneruskan siasatan dan operasi bagi mengenal pasti serta mengesan pemegang PLKS tidak sah terbabit.

Media sebelum ini melaporkan Op Crack dilaksanakan SPRM dengan kerjasama JIM bermula 28 Julai lalu dengan menahan lebih 10 individu membabitkan pengarah syarikat, warga asing, pegawai polis serta pegawai Imigresen.

Sebanyak 1,306 PLKS telah dikesan diluluskan secara tidak sah di pelbagai lokasi di seluruh negara membabitkan pelbagai sektor.

Zakaria dilaporkan berkata, terdapat penglibatan ‘orang dalam’ JIM yang mengetahui kaedah mengeksploitasi MyIMMs dalam sindiket penggodaman sistem terbabit bagi proses kelulusan PLKS secara tidak sah.

Individu terbabit menggunakan peranti ‘dongle’ serta perisian yang dimasukkan ke dalam komputer sebelum sistem terbabit diakses dari luar menggunakan ID (nama pengguna) pentadbir untuk mendaftar masuk sebelum mencipta ID palsu bagi meluluskan semua PLKS secara tidak teratur. – UTUSAN

The post JIM senarai hitam pemegang PLKS diluluskan secara tidak sah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved