
iMotorbike, salah satu platform yang terkenal dengan penawaran jual beli motorsikal terpakai, hari ini turut memperkenalkan sebuah lagi perkhidmatan dibawah mereka, dinamakan iM Rescue.
Seperti pada namanya, ia menawarkan bantuan dan perkhidmatan kecemasan untuk para penunggang motosikal. Antara perkhidmatan yang disediakan adalah termasuk perkhidmatan kecemasan melibatkan kepada bateri, tayar dan juga rantai motosikal.

Daripada ujian fasa beta yang dilakukan, ia dilihat 55% permintaan adalah melibatkan kepada kes bateri dan juga kesukaran untuk memulakan motosikal. iMotorbike mengenakan caj sebanyak RM49 untuk setiap bantuan yang dipohon (tidak termasuk caj melibatkan barangan seperti bateri atau tayar dan lain-lain). Sebagai alternatif juga, perkhidmatan ini boleh dilanggan pada harga RM99 setahun yang memberikan anda akses kepada bantuan kecemasan tanpa had sepanjang tahun (tanpa termasuk caj barangan tambahan seperti tayar, bateri dan lain-lain).
Dengan penawaran perkhidmatan ini juga, iMotorbike dilihat terus ingin menjadi pusat sehenti untuk pelbagai perkara melibatkan motosikal, termasuk dari segi jualan sehingga bantuan kecemasan. Perkhidmatan iM Rescue ditawarkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, dan beroperasi dari pukul 10 pagi ke 12 tengah malam.
