Impak SST ke atas isi rumah rendah dan terkawal, kerajaan unjur hasil tambahan RM5 bilion, Parlimen diberitahu

LocalPolitics
26 Aug 2025 • 12:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Impak SST ke atas isi rumah rendah dan terkawal, kerajaan unjur hasil tambahan RM5 bilion, Parlimen diberitahu

image is not available

26/08/2025 - 12:19

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Pelaksanaan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai lalu hanya memberi kesan minimum kepada rakyat kerana kebanyakan barangan dan perkhidmatan asas dikecualikan cukai.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, berdasarkan unjuran awal, impak SST ke atas isi rumah adalah rendah dan terkawal berikutan pelbagai langkah mitigasi yang diperkenalkan kerajaan.

“Pengecualian dan kemudahan ini dilaksanakan bagi memastikan beban cukai diagihkan secara adil serta ditanggung oleh pihak yang berkemampuan. Pendekatan ini selaras dengan prinsip keadilan sosial dan fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datin Ros Suryati Alang yang ingin tahu apakah kesan SST terhadap rakyat dan bagaimana SST membantu kerajaan menampung perbelanjaan operasi serta pembangunan tanpa menambah hutang baharu di Parlimen hari ini.

Antara langkah utama yang diperkenalkan Kerajaan ialah pengecualian cukai jualan ke atas barangan keperluan asas seperti makanan ruji, ubat-ubatan, buku serta mesin atau jentera untuk sektor pertanian dan penternakan.

Beliau berkata, kadar cukai jualan 5% hingga 10% yang dinaikkan pula hanya dikenakan terhadap barangan pilihan dan bukan barangan asas.

“Perkhidmatan asas yang digunakan rakyat kebanyakan turut dikecualikan cukai, termasuk perkhidmatan perbankan asas, sewaan rumah serta kerja pembinaan melibatkan rumah kediaman.

“Selain itu, cukai perkhidmatan hanya dikenakan ke atas segelintir perkhidmatan komersial yang lazimnya digunakan golongan berkemampuan, antaranya yuran sekolah swasta melebihi RM60,000 setahun.

“Bagi mengelakkan isu cukai berganda, kerajaan turut memperkenalkan pengecualian khusus terhadap perkhidmatan dan entiti perniagaan tertentu,” katanya.

Nilai ambang pendaftaran juga ditetapkan tinggi iaitu RM1 juta setahun bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan, manakala RM1.5 juta setahun untuk kerja pembinaan dan penjagaan kesihatan swasta.

Tambahnya, dengan peluasan skop SST ini, kerajaan menjangka dapat menjana hasil tambahan sebanyak RM5 bilion tahun ini sekali gus mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

“Hasil tambahan ini, bersama pendekatan perbelanjaan berhemah, membolehkan kerajaan menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan tanpa perlu menambah pinjaman atau hutang yang tinggi.

“Peningkatan hasil cukai turut membolehkan kerajaan meneruskan pemberian subsidi dan bantuan kepada rakyat melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Langkah ini penting bagi meringankan kos sara hidup rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif serta mampan,” tambahnya. - DagangNews.com

featured standard