IDEAS cadang cukai karbon RM200 satu tan, berpotensi jana hasil sehingga RM3 bilion setahun

20/08/2025 - 10:11
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 20 Ogos – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengemukakan cadangan agar kadar cukai karbon ditetapkan pada RM200 bagi setiap tan pelepasan karbon dioksida (CO₂) menjelang 2030 sebagai langkah penting untuk memastikan pengeluaran keluli rendah karbon berdaya maju di Malaysia.
Cadangan itu terkandung dalam kertas dasar terbaharu badan pemikir berkenaan yang turut mengesyorkan pelaksanaan itu dilakukan segera namun secara berperingkat bagi mencapai harga tersebut menjelang 2030.
Langkah itu dilihat selari dengan pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2025 untuk memperkenalkan cukai karbon ke atas sektor berintensif pelepasan tinggi termasuk besi, keluli dan tenaga bermula tahun depan.
IDEAS berkata, cadangan kadar cukai karbon pada tahap RM200 satu tan dijangka meningkatkan kos pengeluaran keluli yang menggunakan relau bagas tradisional sekitar 11%, manakala sektor hiliran seperti pembinaan bakal menyaksikan kenaikan kos antara 3.5% hingga 4.6%.
“Bagi pengguna keluli bernilai tambah tinggi, kenaikan dijangka lebih sederhana iaitu hanya sekitar 1%.
“Pelaksanaan secara berperingkat membolehkan harga itu dicapai dalam tempoh empat hingga lima tahun, sekali gus berpotensi menjana hasil kerajaan sehingga RM3 bilion setahun.
“Dana itu boleh digunakan semula untuk membantu pengeluar dan pengguna keluli menyesuaikan diri dengan perubahan semasa,” katanya.
IDEAS berkata, cadangan kadar cukai karbon yang lebih tinggi juga dianggap penting untuk melindungi industri eksport negara daripada peraturan antarabangsa seperti Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) Kesatuan Eropah, yang akan mengenakan tarif ke atas produk intensif karbon termasuk besi dan keluli.
IDEAS turut memberi amaran bahawa sektor keluli Malaysia semakin berisiko apabila purata intensiti pelepasan karbonnya meningkat lebih empat kali ganda sejak 2014.
“Jika sebelum ini pengeluaran hanya menggunakan relau elektrik, kini 70% pengeluaran bergantung kepada relau bagas berintensif karbon, sekali gus menjejaskan sasaran sifar bersih negara,” katanya.
Felo Kanan IDEAS, Renato Lima de Oliveira yang juga pengarang bersama kertas dasar itu berkata, kadar cukai karbon yang sesuai boleh membuka peluang kepada teknologi baharu, mengurangkan risiko sekatan perdagangan antarabangsa serta menjamin akses pasaran global yang bergerak pantas ke arah nyahkarbon.
“Ia juga mampu menjana sehingga RM3 bilion setahun untuk kerajaan yang boleh dilaburkan semula bagi menyokong penyesuaian industri dan pengguna,” katanya.
Seorang lagi pengarang bersama, Pieter E Stek pula berkata, beberapa tahun akan datang adalah tempoh kritikal untuk kerajaan meletakkan industri keluli Malaysia seiring dengan peralihan global.
“Kerajaan perlu memastikan sektor ini mampu bersaing dalam pasaran rendah karbon atau berisiko ketinggalan ketika negara lain bergerak lebih pantas,” katanya.- DagangNews.com
standard


