Seorang anak muda terpaksa melupakan impian untuk membeli rumah pertamanya selepas permohonan pinjaman perumahan ditolak bank kerana wujud komitmen kewangan yang tidak disedari atas nama sendiri.
Perkongsian kisah di Facebook ini dibuat oleh ejen hartanah, Rubi Hasman yang menceritakan bagaimana seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an datang kepadanya untuk membeli sebuah rumah berharga RM170,000 sebagai pelaburan hartanah.
Pada peringkat awal semakan kelayakan pinjaman, semuanya kelihatan lancar. Namun, setelah permohonan dihantar ke pihak bank, pihak bank memaklumkan terdapat satu lagi rekod pinjaman kereta atas nama pemohon yang tidak dimaklumkan sebelum ini.
Rubi bertanya sama ada pemuda tersebut ada membuat pinjaman lain sebelum ini, namun pembeli tersebut menafikannya. Bagi mendapatkan kepastian, Rubi membuat carian melalui sistem CTOS dan CCRIS dan mendapati memang wujud pinjaman kenderaan aktif di bawah namanya.
Menurut lelaki itu, kereta tersebut sebenarnya digunakan oleh abangnya dan dia hanya memberikan salinan IC serta penyata gaji untuk membantu membeli kereta, menyangka dirinya hanya sebagai penjamin. Namun rupa-rupanya, namanya dimasukkan sebagai peminjam kedua dalam pinjaman tersebut.
Rubi turut mencadangkan agar lelaki itu membuat pinjaman bersama dengan abangnya, namun cadangan tersebut ditolak oleh si abang.
“Jangan senang-senang percaya orang lain untuk pinjam dokumen dan tandatangan anda. Takut nanti tiba-tiba je kita ada komitmen yang kita sendiri tak pernah mohon,” pesan Rubi kepada orang ramai.
Beliau turut menasihati orang ramai agar benar-benar memahami peranan mereka dalam sesuatu pinjaman, sama ada sebagai penjamin atau penama kedua kerana kedua-duanya boleh menjejaskan kelayakan pinjaman pada masa hadapan.
Sumber : Facebook Rubi Hasman
The post Impian beli rumah terkubur, pemuda ‘terperangkap’ jadi penama kedua kereta abang appeared first on The Reporter.

