
IMPIAN untuk menyaksikan jurulatih yang memiliki pengalaman di Piala Dunia dan berkelas ‘A’ dari Jepun, Hajime Moriyasu untuk dilantik sebagai pengendali baharu mengemudi Harimau Malaya mungkin tidak kesampaian.
Jurulatih berusia 58 tahun itu dilaporkan lebih berminat meneroka cabaran di Eropah dengan menguruskan kelab selepas kontraknya bersama skuad Samurai Biru berakhir tahun depan.
Laporan media Jepun, Nikkan Gendai mendedahkan hasrat jurulatih itu mengendalikan kelab di benua Eropah sekali gus menafikan spekulasi yang mengaitkan Moriyasu dengan pasukan kebangsaan Malaysia.
Perkembangan itu menyebabkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari calon baharu, namun sudah pastinya ia mengecewakan ramai peminat yang mahu melihat seorang jurulatih berprofil tinggi menggantikan Peter Cklamovski yang meninggalkan pasukan pada pertengahan tahun ini.
Laporan berkenaan turut menyebut kelab Belgium, Sint-Truidense menjadi antara nama yang dikaitkan sebagai destinasi baharu karier Moriyasu.
Kelab yang dimiliki syarikat Jepun, DMM.com itu mempunyai rekod membangunkan pemain dari negara berkenaan sebelum mereka mencipta nama di pentas antarabangsa termasuk Wataru Endo, Takahiro Tomiyasu dan Zion Suzuki.
Sint-Truidense juga masih mempunyai beberapa pemain Jepun dalam skuadnya, sekali gus menjadikan kelab itu antara pilihan yang berpotensi menarik minat Moriyasu sekiranya beliau mahu memulakan pengalaman baharu di Eropah.
Pada Piala Dunia 2022, Moriyasu membimbing Jepun mencipta kejutan bersejarah dengan menewaskan dua pasukan pilihan kejohanan, iaitu Jerman dan Sepanyol sebelum langkah mereka berakhir di pusingan 16 selepas tewas kepada Croatia.
Sementara itu, Piala Dunia 2026 menyaksikan beliau membimbing Jepun dalam Kumpulan F bersama Belanda, Tunisia dan Sweden dan menamatkan peringkat kumpulan di tempat kedua sebelum tersingkir pada pusingan 32 selepas tewas 2–1 kepada Brazil.
Selain membawa Jepun ke Piala Dunia, Moriyasu meletakkan sasaran menjadi jurulatih pertama dari negara itu yang mengemudi kelab Eropah.
The post Impian besar Harimau Malaya lebur appeared first on Kosmo Online.






