
SKUAD bola sepak kebangsaan dikaitkan dengan jurulatih berprofil tinggi, Hajime Moriyasu bagi mengisi kerusi panas selaku ketua jurulatih Harimau Malaya tahun depan.
Menurut laporan media Jepun, Chosun.com, nama Moriyasu yang kini mengendalikan skuad antarabangsa Samurai Biru antara yang cuba dirisik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Kata portal tersebut yang memetik sumber laporan media Vietnam, Tien Phong, FAM mencari pengendali baharu dengan sasaran membina pasukan lebih kompetitif menjelang kempen Piala Dunia 2030 tahun depan.
Di bawah kendaliannya, Jepun mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2022 di Qatar selain terus membina kekuatan untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Ranking FIFA Jepun turut melonjak sehingga berada di tangga ke-17 dunia, sekali gus menjadikan Moriyasu antara nama yang menarik perhatian jika benar FAM mahu mendapatkan jurulatih asing berprofil tinggi.
Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa Moriyasu dijangka meninggalkan jawatannya selepas Piala Asia 2027 di Arab Saudi Januari tahun depan kerana mahu mencari angin baharu dalam kariernya.
Difahamkan, FAM turut dikatakan mahu membina projek jangka panjang selepas pembentukan barisan kepimpinan Exco baharu pada Kongres Luar Biasa badan induk itu bulan lalu.
Harimau Malaya sebelum ini sudah melalui fasa revolusi apabila melantik Peter Cklamovski tahun lalu tetapi berakhir ‘separuh jalan’ apabila pengendali dari Australia itu meletakkan jawatan Jun lepas.
Kosmo! semalam melaporkan FAM perlu segera mencari jurulatih baharu walaupun pengendali interim, Tan Cheng Hoe menghasilkan keputusan positif pada kempen Piala ASEAN FIFA 2026 baru-baru ini.
The post Jurulatih Jepun dalam radar FAM appeared first on Kosmo Online.






