
LONDON – Penantian panjang Harry Kane untuk berada di puncak bola sepak dunia akhirnya berbaloi apabila penyerang England itu dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or, sekali gus menjadi pemain England pertama dalam tempoh 25 tahun merangkul anugerah individu berprestij itu.
Pemain berusia 33 tahun itu menerima penghormatan berkenaan pada majlis gala penuh gemilang di London awal pagi semalam selepas mengharungi musim bersejarah bersama Bayern Munich dan skuad kebangsaan England.
Kane mengatasi pencabar utama, Kylian Mbappé dan bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, untuk membawa pulang trofi yang dianjurkan France Football dan ditentukan menerusi undian 100 wartawan dari seluruh dunia.
Kejayaan itu menyaksikan Kane menjadi pemain England kelima memenangi Ballon d’Or, selain yang pertama sejak Michael Owen melakukannya pada edisi 2001.
Pengiktirafan tersebut hadir selepas Kane mempamerkan ketajaman luar biasa bersama Bayern dalam Bundesliga dan Liga Juara-Juara (UCL), selain membantu England melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2026.
Secara keseluruhan, dia menghasilkan 73 gol dalam musim yang mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyerang paling prolifik di dunia.
Menurut Kane, pengiktirafan itu sangat bermakna selepas bertahun-tahun berusaha membina karier hingga ke tahap tertinggi.
“Berada di London menjadikan semuanya lebih istimewa. Terima kasih kepada semua yang mengundi saya. Saya dapat bayangkan betapa sukarnya keputusan itu, jadi terima kasih.
“Penghargaan juga diucapkan kepada keluarga yang sentiasa berkorban dan memberikan sokongan sepanjang perjalanan karier.
“Saya juga berharap perjalanan saya dapat memberikan inspirasi. Laluan saya tidak mudah dan saya tidak terus berada di puncak. Saya perlu melalui banyak pengalaman pinjaman dan berjuang untuk sampai ke tahap sekarang,” katanya.
Kane kini menyertai kelompok legenda England yang pernah memenangi anugerah berkenaan, termasuk Bobby Charlton, Kevin Keegan dan Owen. – AGENSI
The post Impian Kane akhirnya tertunai appeared first on Kosmo Online.




