Impian Mula Hidup Baru Musnah, Lima Sekeluarga Maut Nahas Pesawat Air India

13 Jun 2025 • 4:09 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Impian sebuah keluarga untuk memulakan kehidupan baharu di kota London bertukar menjadi detik hitam apabila mereka terkorban dalam nahas pesawat Air India yang membawa lebih 240 penumpang, semalam.

Impian musnah sekelip mata

Menurut laporan Dailymail, tragedi menyayat hati itu turut meragut nyawa pasangan suami isteri, Dr. Pratik Joshi dan Dr. Komi Vyas, bersama tiga anak mereka.

Foto: Daily Mail

Sekeping foto yang tular di media sosial memperlihatkan mereka sekeluarga tersenyum gembira, dipercayai dirakam sebelum berlepas untuk dijadikan detik terakhir bersama sebagai simbol untuk memulakan impian baru mereka di tempat baru.

Menurut satu hantaran Facebook oleh Mohd. Ezairol, pasangan itu telah bertahun-tahun menguruskan pelbagai urusan dokumentasi untuk berpindah ke London.

Foto: Daily Mail

Difahamkan, Dr. Pratik sudah pun tinggal dan bekerja di sana sejak enam tahun lalu, manakala isterinya dan anak-anak masih menetap di India menanti masa untuk bersatu semula sebagai satu keluarga.

“Semalam, dengan penuh harapan dan keterujaan, mereka berlima menaiki penerbangan Air India 171 menuju ke London. Beg telah dikemaskan, ucapan perpisahan sudah dilafazkan, dan masa depan yang cerah seolah-olah sudah di hadapan mata,” tulisnya.

Foto: Daily Mail

Lebih memilukan, Dr. Komi yang turut merupakan seorang doktor, telah meletakkan jawatannya di India sebagai persediaan untuk menetap di United Kingdom dan memulakan lembaran baharu di sana.

Namun, semua perancangan dan impian musnah sekelip mata apabila pesawat yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad.

Foto: Daily Mail

Semalam, sebuah pesawat milik Air India yang membawa lebih 240 penumpang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad ketika dalam perjalanan ke London.

Sumber: Daily Mail