MAKKAH – Di saat kain ihram sudah lengkap tersarung di tubuh, perjalanan suci yang diimpikan selama ini berakhir di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah.
Itulah realiti pahit yang pernah disaksikan Pengarah Operasi Jeddah, Darul Nain Abu Bakar apabila sekumpulan jemaah terpaksa berpatah balik selepas ditahan akibat menggunakan visa palsu.
Menurutnya, kejadian sekitar 2015 itu melibatkan kira-kira 30 jemaah dan menjadi antara detik paling memilukan sepanjang beliau terlibat dalam operasi haji.
“Nama dan gambar memang milik mereka, tetapi apabila disemak dalam sistem, visa itu bukan milik sebenar. Mereka tidak dibenarkan masuk ke Makkah dan akhirnya dihantar pulang.
“Lebih menyedihkan, ketika itu mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk menunaikan haji,” katanya.
Beliau berkata, walaupun pihak konsulat cuba membantu dan berunding dengan pihak berkuasa Arab Saudi, peraturan yang ketat menyebabkan tiada kompromi dapat diberikan.
“Syukur hasil rundingan dengan pihak imigresen mereka tidak dimasukkan ke dalam lokap, sebaliknya ditempatkan di kawasan khas lapangan terbang sebelum dihantar pulang.
“Memang kita rasa nak bantu sebab mereka sudah sampai, tetapi peraturan di Arab Saudi sangat tegas,” ujarnya.
Tambah beliau, kejadian itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan besar, malah boleh menjejaskan rekod individu sehingga berisiko disenarai hitam.
Petugas barisan hadapan
Dalam pada itu, Darul Naim menjelaskan, peranan petugas di Pusat Perkhidmatan Operasi (PPO) Jeddah amat penting dalam memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.
Katanya, skop operasi bukan hanya di Jeddah, sebaliknya meliputi perjalanan jemaah dari Madinah hingga Makkah.
“Antara fokus utama ialah mengurus ketibaan jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz sama ada di Terminal Haji atau Terminal 1.
“Kita membantu semua jemaah Malaysia yang datang dengan visa haji yang sah,” katanya.
Menurutnya, terdapat empat unit utama yang digerakkan bagi memastikan operasi berjalan lancar termasuk pusat panggilan kecemasan lebuh raya (PPKL), peronda lebuh raya, petugas terminal serta rombongan perubatan.
Katanya, PPKL berfungsi menerima aduan kecemasan, manakala peronda lebuh raya pula sentiasa bersedia memberi bantuan segera sepanjang perjalanan jemaah.
Di terminal, petugas membantu mengurus pergerakan jemaah menaiki bas, manakala pasukan perubatan pula bersiap sedia memberi rawatan segera.
“Jika ada jemaah dimasukkan ke hospital di Jeddah, kitalah yang akan melawat dan membantu mereka,” jelasnya.
Komitmen tidak pernah luntur
Mengulas cabaran, beliau berkata, petugas berdepan cuaca panas melampau selain persekitaran berhabuk terutama di lebuh raya.
Namun, katanya, komitmen petugas tidak pernah berkurang walaupun berdepan keadaan mencabar.
“Tidak kira siang atau malam, petugas tetap bersedia membantu jemaah,” katanya.
Selain itu, kesesakan di terminal akibat ketibaan jemaah dari pelbagai negara serentak turut menjadi cabaran utama.
Situasi tersebut memerlukan penyelarasan rapi termasuk dalam pengurusan bas bagi memastikan jemaah dapat bergerak dengan teratur tanpa melanggar peraturan pihak berkuasa Arab Saudi.
Pengajaran berharga
Dalam pada itu, Darul Naim turut mengingatkan bakal jemaah supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan dan tidak mengambil jalan mudah.
Menurutnya, terdapat juga kes individu yang pernah bekerja di Arab Saudi ditahan semula di lapangan terbang walaupun sudah berada dalam pesawat kerana mempunyai tunggakan atau isu lama.
“Arab Saudi sangat menitikberatkan keselamatan dan pematuhan undang-undang.
“Jangan ambil risiko. Jika melanggar peraturan, tindakan yang diambil memang tegas dan tidak boleh dirunding,” katanya.
Dalam hiruk-pikuk ketibaan jutaan tetamu ALLAH, petugas PPO Jeddah terus setia menggalas amanah sekali gus menjadi benteng terakhir membantu jemaah agar perjalanan ibadah mereka tidak berakhir dengan kisah duka.





