Import murah jejas industri tempatan

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

sungai johor

KUALA LUMPUR: Kebergantungan berterusan terhadap produk import yang ditawarkan pada harga lebih murah boleh menjejaskan kelangsungan pengeluar tempatan dan meningkatkan kebergantungan negara kepada pembekal luar dalam jangka panjang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keadaan itu boleh menyebabkan pengeluar tempatan kehilangan keupayaan untuk terus bero­perasi, sekiranya tidak mampu bersaing dengan produk import.

Beliau berkata, penutupan kilang tempatan bukan sahaja menghilangkan peluang pengeluaran dalam negara, malah boleh menyebabkan Malaysia semakin bergantung kepada produk dari luar.

“Akhirnya, produk yang dahulu kita import dengan harga murah juga boleh menjadi mahal apabila syarikat tempatan yang pernah menghasilkannya sudah menutup kilang.

“Sebab itulah keadaan ini antara yang menyebabkan berlakunya defisit dagangan besar antara Malaysia dengan China,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Johari berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan drastik bagi melindungi ekonomi negara daripada risiko kebergantungan terhadap import, khususnya dari negara yang boleh menjejaskan kepentingan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Katanya, langkah itu pen­ting bagi memastikan industri tempatan terus berdaya saing, selain mengelakkan negara terlalu bergantung kepada bekalan luar ketika berdepan ketega­ngan perdagangan antara kuasa ekonomi dunia.

Katanya, Kementerian Pe­laburan, Perdagangan dan Industri kini memberi tumpuan untuk menganalisis produk yang menyumbang kepada defisit dagangan Malaysia dengan China yang mencecah RM146 bilion pada tahun lalu.

“Kalau kita tengok, Amerika Syarikat (AS) dan China merupakan dua ekonomi terbesar dunia. AS mempunyai saiz ekonomi AS$32 trilion manakala China AS$19.1 trilion. Dulu, apabila kedua-dua negara ini tidak mempunyai masalah, kita turut mendapat manfaat. Tetapi sekarang, apabila berlaku masalah, masing-masing mengenakan se­katan.

“Kalau kita berdagang de­ngan AS, kita mempunyai lebihan dagangan RM100 bilion pada tahun lalu. Tetapi apabila ber­dagang dengan China, kita mengalami defisit sebanyak RM146 bilion.

“Jadi, tumpuan kita di peringkat kementerian adalah menganalisis semua produk yang menyebabkan negara mengalami defisit dagangan begitu besar dengan China,” katanya.

Katanya, penelitian tersebut turut melibatkan usaha mengenal pasti produk yang pernah dihasilkan oleh syarikat tempatan tetapi tidak lagi dikeluarkan berikutan penutupan operasi atau faktor kos pengeluaran.

“Kenapa sekarang mereka tidak boleh mengeluarkannya lagi sehingga ada yang menutup sebahagian operasi? Ini kerana kita terlalu mudah membenarkan import,” katanya. – UTUSAN

The post Import murah jejas industri tempatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved